
Selepas berjaya mencetuskan fenomena dan impak luar biasa, drama terbitan Viu berjudul Bidaah kini kembali menerusi sekuelnya yang berjudul Walid.
Menurut penerbit eksekutif, Erma Fatima, cabaran utama dalam menghasilkan kesinambungan naskhah ini adalah untuk memastikan jalan cerita yang dibawakan lebih segar, berani dan tidak berulang agar penonton terus teruja mengikuti perkembangan drama tersebut.

Jalan Cerita Lebih Berani
Erma akui, tekanan yang dirasai selepas kejayaan besar musim pertama Bidaah, sekali gus memaksanya mencari pendekatan baharu untuk Walid.

“Saya jadi agak tertekan bila drama ini meletup pada musim yang pertama. Kini saya perlu mencari jalan cerita dan kesesatan yang lain pula untuk drama Walid ini.
“Jalan ceritanya tidak boleh sama. Jadi, saya perlu mengumpul fakta-fakta tentang kesesatan yang ada di Nusantara ini.
“Berkaitan ritual yang dipaparkan di dalam drama ini, mungkin kita tak berapa tahu tapi mungkin berlaku,” katanya kepada MH.
Jelas Erma lagi, impak drama Bidaah juga telah membuka ruang kepada orang ramai untuk berkongsi realiti isu yang diketengahkan.

“Saya ini sudah menjadi seperti ‘ajaran sesat seekers’. Sejak drama pertama ini mencetuskan fenomena, ada banyak informasi yang saya dapat tentang perkara ini.
“Jadi, saya ambil info-info itu lalu diselitkan di dalam drama ini pula. Saya juga ada berjumpa beberapa pihak sebagai rujukan.
“Malah, individu yang didakwa pernah menjadi mangsa pun ada mendedahkan kisah mereka kepada saya. Kami jumpa secara bersemuka,” ujarnya lagi.
Dakwah Melalui Seni
Dalam masa sama, Erma menyifatkan penghasilan Walid sebagai sebahagian daripada tanggungjawab dakwahnya sebagai anak seni yang mahu menyampaikan kesedaran melalui medium drama.

“Saya rasa, usaha ini merupakan satu tanggungjawab saya untuk memberikan kesedaran tentang realiti yang berlaku. Saya juga nak lari daripada menghasilkan drama-drama tipikal.
“Saya perlu buat sesuatu yang lain daripada yang lain. Saya ingin menjadi trendsetter. Saya tahu ada banyak lagi drama-drama yang lebih menarik dan orang suka tengok.
“Tujuan utama saya adalah untuk menjadi orang seni yang juga mampu berdakwah melalui jalan seninya,” katanya lagi.
Pada masa sama, Erma turut menyangkal dakwaan segelintir pihak yang menuduh drama Bidaah dan Walid sebagai karya yang merosakkan imej Islam atau memperlekehkan golongan ulama.

“Menerusi drama Bidaah, saya tidak berniat untuk memerli sesiapa di luar sana. Saya amat menghormati para ulama’ yang betul jalannya.
“Apa yang saya paparkan bukan tentang buruknya Islam tetapi tentang buruknya manusia yang menunggang agama Islam. Itulah yang ingin saya sampaikan.
“Jika ia disalah interpretasikan oleh segelintir penonton, saya tak mampu nak tutup mulut orang dan membuka minda mereka untuk berfikir tentang apa yang ingin saya sampaikan.
“Saya orang Islam, takkanlah saya nak menjatuhkan agama saya sendiri. Saya nak tunjukkan kepada orang di luar sana agar tidak menjadi bodoh dan mudah percaya kepada mereka yang menjanjikan syurga.
“Saya tak nak golongan ini terus merosakkan akidah orang Islam,” akhirinya.
Walid dijadualkan bersiaran bermula 26 Februari ini menerusi platform penstriman Viu.

Selain mengekalkan beberapa barisan pelakon daripada siri terdahulu, karya arahan Pali Yahya ini turut memperkenalkan pelakon baharu seperti Aqasha, Olla Ramlan dan Datuk Ahmad Tamimi Siregar.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




