
Penulis dan komposer terkenal, Ajai teruja apabila berpeluang bekerjasama dengan penyanyi Amira Othman untuk sebuah projek single yang bakal menjadi lagu runut bunyi bagi drama terbaharu lakonan Amira sendiri, tidak lama lagi.
Menurut Ajai atau nama sebenarnya Mohamad Faizal Maas, Amira memiliki kualiti serta kawalan vokal yang sangat baik.

“Saya bekerjasama dengan Amira untuk hasilkan sebuah single runut bunyi drama lakonannya bersama Fattah Amin. Lagu ini adalah berkisarkan tentang drama tersebut.
“Saya memang meminati suara Amira. Pada saya, suara ini bukan mengenai nada tinggi atau rendah. Yang penting adalah kesedapan nada itu.
“Saya suka penanyi yang sentiasa berpegang kepada konsep suara. Dia hanya menunggu masa untuk menyinar sahaja.
“Kita tahu Amira ini memperjuangkan ‘world music’. Dia orang Johor dan sukakan muzik seperti ghazal. Nyanyian Amira memang sedap dalam ‘range’ dia sendiri.
“Pada akhirnya, kita nak dengar sesuatu yang sedap. Itu ada pada Amira,” katanya kepada MH.
Ajai yang juga anggota kumpulan Exists itu berkata demikian sejurus Final Raise The Star Malaysia yang berlangsung di Royal Theatre, Shah Alam pada Ahad.
Kenangan Uji Bakat & Sikap Profesional Amira
Pertemuan mereka baru-baru ini turut mengimbau kenangan sewaktu Ajai pertama kali bertemu Amira lebih 10 tahun lalu di sesi uji bakat sebuah program realiti televisyen.

“Saya pernah kendalikan sesi satu ujibakat bersama Amira untuk program Mentor. Ketika itu, usianya baru 21 tahun.
“Sudah berbelas tahun masa berlalu dan Amira ingatkan saya kembali momen tersebut.
“Saya lepaskan Amira untuk ke peringkat seterusnya. Saya memang tahu dia boleh menyanyi,” ujarnya.
Malah, Ajai turut memuji keperibadian dan sikap profesional Amira ketika bekerja.

“Amira ini memang seorang yang bagus akhlaknya dan sopan. Bercakap pun dengan nada yang lemah lembut dan menghormati seni.
“Amira penyanyi yang suka berbincang dan memberikan pendapat. Saya sukakan itu. Ada segelintir penyanyi, bila rakam lagu, dia serahkan segalanya kepada komposer sahaja.
“Amira turut berkongsi ‘art direction’ untuk karya ini. Dia juga tahu yang saya sudah mengambil maklum mengenai tahap vokalnya. Jadi, dia faham tentang nota muzik. Dia bukan kosong,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




