
Selepas kejayaan konsert Majlis Tertinggi Rockqueen yang berlangsung Sabtu lalu, penyanyi legenda, Ella Aminuddin menzahirkan penghargaan istimewa buat suami, Azhar Husaini Ghazali, yang disifatkan sebagai tulang belakang kepada kebangkitan semula kerjayanya sebagai anak seni.
Menurut Ella, selepas mendirikan rumah tangga, suaminya banyak memberikan dorongan serta idea-idea segar untuknya terus memperkukuh legasi sebagai Ratu Rock tanah air.
“Secara jujurnya, selepas sekian lama bergelar anak seni, ada satu fasa di mana nama saya agak diam seketika. Selepas itu, saya berkahwin dengan suami.
“Dari situ saya mendapat inspirasi dan idea yang diberikan oleh suami. Dia suntik saya dengan satu semangat baharu. Malah, suami juga yang menyedarkan dan mengingatkan saya siapa Ella yang sebenarnya.
“Ketika itu, saya agak leka dan tertidur lena. Bila konsert ini menjadi kenyataan, saya rasa sangat istimewa,” katanya kepada MH.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas berakhirnya konsert Majlis Tertinggi Rockqueen yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini.
Konsert berkenaan berjaya menghimpunkan hampir 55,000 peminat setia yang sekian lama menantikan peluang menyaksikan Ella beraksi di lokasi ikonik tersebut.
Mengulas mengenai segmen tribute yang dipersembahkan pada malam tersebut, Ella menjelaskan ia sebagai tanda penghargaan kepada rakan seperjuangan yang turut sama memperjuangkan muzik rock.
“Saya sangat menghargai rakan-rakan seperjuangan saya seperti Nike Ardilla, Shima, Ruhil Amani dan Nadia. Lagu-lagu mereka sangat hebat.
“Kalau kita tak bawa ke tengah, rasanya sangat sayang. Lagu-lagu ini merupakan karya-karya yang sangat berharga.
“Sebab itulah saya dedikasikan tribute buat mereka. Ia sebagai tanda penghargaan,” kongsinya lagi.
Sementara itu, suaminya yang juga dikenali sebagai Azhar Husaini Ghazali memaklumkan konsert tersebut turut mencatat kejayaan dari sudut kebajikan apabila berjaya mengumpulkan lebih RM100,000 untuk disalurkan kepada tiga badan kebajikan terpilih.
“Itu adalah sumbangan daripada tetamu yang hadir. Mereka sumbangkan RM2 daripada pembelian tiket. Kita berjaya kumpulkan hampir 55,000 penonton dan jumlah yang terkumpul ada dalam RM110,000.
“Pecahannya menjadi 60% kepada Persatuan Cinta Gaza Malaysia, 20% kepada Yayasan Kebajikan Negara dan 20% lagi kepada Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air.
“Kita berbangga kerana malam ini kita dapat berhibur dan menyumbang secara tidak langsung.
“Malah, kita juga membawakan penghuni rumah transit dan gelandangan. Kami harap mereka terhibur dan dapat mencipta kenangan manis,” kongsinya.
Konsert yang berlangsung selama tiga jam itu terasa begitu pantas apabila Ella mempersembahkan rangkaian lagu popular seperti Sembilu, Sepi Sekumtum Mawar Merah, Baldu Biru, Rama-Rama, Standing In The Eyes Of The World dan banyak lagi.
Malam gemilang tersebut turut digamatkan dengan kemunculan barisan artis jemputan seperti Amy Search, Tam Spider, Joe Flizzow, Amir Masdi dan Sam Bunkface.
@mediahiburanofficial Ambillah dunia ni 💕😍. Sweet betul couple ni! Memang saling melengkapi. Perkongsian Captain Azhar pula memang menusuk ke hati 🤲🏻🥰. #MHnews #MediaHiburan ♬ original sound – Media Hiburan