
Selepas terpalit dengan kontroversi termasuklah isu berkaitan rumah tangga, pempengaruh, Ira Kazar menyifatkan dia kini banyak meluangkan masa untuk reflek dan memperbaiki diri.
Menurut Ira, tempoh menjalani kehidupan secara solo banyak memberikan pengajaran dan hikmah yang membentuk dirinya menjadi individu lebih matang dari segi mental dan emosi.
“Saya rasa kehidupan saya kini lebih baik. Sepanjang menjalani kehidupan secara solo ini, banyak hikmah yang saya pelajari. Di mata orang, perkara itu mungkin nampak buruk.
“Pada saya, tidak. Apa sahaja yang berlaku, ia tetap memberikan pengajaran kepada saya. Dari segi mental dan emosi, saya rasa lebih baik.
“Namun, kesihatan mental ini merupakan satu progres. Kita pun tak tahu bilakah masanya ia akan jadi 100 peratus okay. Saya hanya meneruskan kehidupan seperti biasa,” katanya kepada MH.
Anak kepada pelakon, Kazar Saisi itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis rumah terbuka anjuran All Star Influencer Award (ASIA) di Studio 38, Petaling Jaya pada Sabtu.
Mengulas mengenai penampilannya yang berhijab, Ira bagaimanapun akui agak janggal untuk menerima pujian kerana merasakan dirinya masih berusaha untuk menjadi individu yang lebih baik.
“Kadang-kadang kita juga rasa ‘cringe’ bila orang terlalu memuji. Saya biasa sahaja. Saya hanya mencuba untuk menjadi insan yang lebih baik.
“Seperti semua tahu, dahulu saya tidak bertudung. Kini saya nak cuba tingkatkan keimanan,” kongsinya lagi.
Selepas berpisah dengan suami yang juga pengarah terkenal, Syamsul Yusof pada 2024, Ira mendedahkan dirinya belum merancang untuk kembali berumah tangga walaupun ada pihak yang cuba mendekati.
“Yang nak menjadikan saya sebagai isteri, mungkin belum ada lagi. Yang mahu cuba berkenalan itu adalah juga. Namun buat masa ini, saya belum merancang untuk mempunyai hubungan yang lebih serius.
“Mungkin saya belum jumpa pasangan yang sesuai,” kongsinya lagi.
Ditanya sama ada dia berasa serik disebabkan perkahwinan terdahulu, Ira mengakui dia kini harus lebih berhati-hati untuk memilih pasangan hidup.
“Saya tidaklah serik. Setiap manusia itu sifatnya berbeza-beza. Bila saya sudah lalui satu perkara, saya tak boleh anggap semua lelaki sama.
“Kini, saya mahu lebih berhati-hati. Saya kena tahu dan kenal latar belakang mereka dahulu. Mungkin sebelum ini, saya tak pandang sangat hal-hal seperti itu.
“Dahulu, mungkin saya rasa setiap kekurangan itu, kita boleh terima. Sekarang, tidak lagi. Saya kena pertimbangkan setiap aspek,” ujarnya lagi.
Jelas Ira lagi, dia kini mahu memilih bakal suami yang bijak dan berani menguruskan hal berkiatan rumah tangga walaupun berdepan pelbagai konflik.
“Dia kena bijak dan tahu nak menguruskan segala situasi. Pada saya, ini sangat penting. Kalau kita ada konflik, dia tahu macam mana nak mengatasinya.
“Dari segi rupa pula, biarlah sedap mata memandang. Kalau boleh, selepas ini, individu itu bukanlah daripada orang industri seni. Biarlah ada status juga,” akhirinya.
Untuk rekod, Ira dan Syamsul pernah berkahwin pada 6 Januari 2023 di Selatan Thailand sebelum mendaftarkan perkahwinan mereka di Perlis pada 20 Januari tahun sama.
Namun, perkahwinan tersebut tidak berkekalan apabila mereka sah bercerai pada 5 September 2024.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini