
Penyanyi remaja, Iman Darwisy, 15, mempertaruhkan sepenuh jiwa menerusi single terbaharunya berjudul Kehilangan, sebuah lagu balada yang mengangkat tema kasih sayang dan kerinduan terhadap insan tersayang.
Kehilangan merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Ilham Basoyang yang bertindak sebagai komposer, penulis lirik, penerbit serta penyusun muzik. Manakala, penerbit eksekutifnya ialah Noorazreen.
Menurut Iman, genre balada sememangnya dekat di hatinya sejak kecil, dan lagu Kehilangan memberi ruang untuk dia menzahirkan penghayatan yang lebih mendalam dalam nyanyian.
“Saya membesar dengan lagu-lagu genre perlahan dan memang mudah menjiwai lagu macam ini, sebab itu saya pilih Kehilangan sebagai single terbaharu saya.
“Kalau boleh, saya nak ekspresikan penghargaan dan kasih sayang kepada orang yang saya sayang, terutama orang terdekat. Bagi saya, lagu ini boleh jadi simbol perasaan ramai orang,” katanya.
Iman turut menyifatkan Kehilangan sebagai satu pencapaian manis dalam perjalanan seninya kerana ia merupakan lagu solo keduanya pada usia yang masih muda.
“Alhamdulillah, ini single kedua saya. Saya sangat bersyukur sebab pada usia 15 tahun sudah ada dua single sendiri.
“Semua ini hasil sokongan ibu bapa dan juga Ilham Baso yang hasilkan lagu serta lirik yang sangat menyentuh hati dan sesuai dengan jiwa saya.
“Saya harap lagu ini boleh beri mesej yang baik kepada masyarakat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Iman berharap agar Kehilangan dapat diterima baik oleh para pendengar serta menjadi pilihan ketika mengenangkan insan tersayang.
“Harapan saya, semua orang boleh suka lagu ini. Setiap kali kita teringat orang yang kita sayang, yang kita rindu atau yang sudah lama tak berjumpa, kita boleh luahkan perasaan melalui lagu ini,” katanya.
Muzik video Kehilangan diterbitkan oleh Javs Production, dengan proses suntingan oleh Awang Thrasher, manakala solekan artis oleh Nazranazira.
Single Kehilangan diedarkan oleh Universal Music Malaysia.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
“Saya Bersyukur Sebab Pada Usia 15 Tahun, Sudah Ada Dua Single Dendiri,” – Iman Darwisy