Categories: Berita Hiburan

Satu Malam Penuh Emosi Bersama For Revenge, Insomniacks & Midnight Fusic!

Share

Para peminat muzik alternatif dan pop moden bakal dibawa menyelami gelora emosi mendalam pada 24 Januari depan menerusi konsert istimewa, ‘Malam Simfoni Luka.’

Konsert ini bakal menampilkan tiga nama besar iaitu For Revenge, Insomniacks dan Midnight Fusic yang akan berlangsung di Megastar Arena, Kuala Lumpur bermula jam

8 malam.

Konsert ini dijanjikan sebagai pengalaman sonik luar biasa yang menggabungkan unsur duka, cinta serta harapan melalui melodi dan lirik yang mencerminkan perjalanan jiwa generasi muda masa kini.

Gabungan hebat menerusi paduan tenaga For Revenge sebagai band post-hardcore dengan reputasi penuh emosi yang digandingkan pesona pop moden Insomniacks serta nuansa dreamy alternatif Midnight Fusic.

Ia pastinya menjadikan ‘Malam Simfoni Luka’ malam yang bakal menggetarkan jiwa setiap pencinta muzik tempatan dan serantau!

“Konsert ini bukan sekadar hiburan, tapi satu pertemuan emosi antara artis dan peminat.

“Ia tentang luka, tentang bangkit, dan tentang bagaimana muzik menjadi terapi,” ulas wakil penganjur dalam satu kenyataan.

Persembahan Eksklusif & Pengalaman Visual Sinematik

Selain persembahan utama daripada tiga kumpulan ini, produksi ‘Malam Simfoni Luka’ turut akan diserikan dengan pencahayaan sinematik, susunan muzik live eksklusif serta visual khas.

Set hebat ini akan membawa penonton menyelami setiap bait emosi yang terkandung dalam lirik lagu yang dipersembahkan.

Tiket sudah pun mula dijual sejak 14 November lalu melalui laman rasmi www.ticket2u.com.my.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH