
Di sebalik kemeriahan muzik, seni dan aktiviti keluarga, Makar Fest XL tampil membawa misi lebih besar kali ini apabila dijadikan sebagai platform untuk membentuk komuniti dan menghargai seni budaya serta budaya.
Tidak jauh bezanya dengan penganjuran terdahulu, Makar Fest XL yang bakal berlangsung pada 29 hingga 31 Januari ini hadir sebagai evolusi festival yang bukan sahaja diperbesarkan dari segi skala, malah diperkukuhkan dari sudut tujuan dan impak terhadap komuniti, khususnya usahawan kecil, peniaga tempatan serta penggiat seni.
Titik Temu Seni, Keluarga & Komuniti
Menurut Pengarah Festival Makar Fest mewakili penganjur utama, Issey Fazlisham berkata, Makar Fest XL diwujudkan sebagai titik temu seni, keluarga & komuniti.
“Makar Fest XL bukan tentang jadi lebih besar, tetapi tentang jadi lebih bermakna. Kami mahu komuniti diberi ruang untuk berniaga, berkongsi idea dan membina jenama mereka sendiri.
“Sepanjang tiga hari penganjuran Makar Fest, pelbagai aktiviti menarik telah disediakan untuk pengunjung dari semua peringkat umur. Kami menjemput orang ramai, terutamanya pelancong luar, untuk menikmati keunikan dan keceriaan Kelantan sambil merasai pengalaman festival yang meriah ini.”
“Seiring dengan itu, Makar Fest XL tidak sekadar menumpukan kepada jualan harian, sebaliknya membantu peniaga dan penggiat seni membina nama produk mereka untuk terus dikenali agar lebih berjaya masa depan.
“Bagi kami, apabila komuniti ini diberi ruang yang betul, mereka akan lebih yakin untuk membina branding mereka sendiri,” ujarnya.


Sokongan Padu Kukuhkan Impak
Bagi memeriahkan lagi penganjuran, Makar Fest XL turut menampilkan barisan artis dan penggiat seni tempatan yang bakal menghiburkan pengunjung sepanjang festival berlangsung.
Antara artis yang bakal memeriahkan festival yang ditunggu-tunggu ini ialah Kugiran Masdo, Sabri Yunus, Wan Hanafi Su, Zack Budak Kacamata, Budak Nakal Hujung Simpang dan Wargaswara.
Kehadiran mereka bukan sahaja menghidupkan suasana festival, malah membuka ruang kepada penggiat seni tempatan untuk berkarya dan menjana pendapatan dalam ekosistem hiburan yang sihat.
Selain itu, dalam usaha memastikan festival berskala besar ini kekal selamat dan sesuai untuk semua, penganjur turut menitikberatkan aspek keselamatan, kesihatan serta pengisian positif dengan pelbagai aktiviti yang mesra keluarga dan terkawal.
“Menyentuh tentang pengisian positif, Makar Fest XL turut mengetengahkan elemen pendidikan santai menerusi sesi dialog anak muda, perkongsian pengalaman hidup dan perbincangan realiti kehidupan yang disampaikan secara tak formal agar mudah didekati.
“Kami berkembang ke hadapan tanpa meninggalkan identiti asal. Ilmu tidak semestinya di dalam bilik kuliah, dan festival seperti Makar Fest XL ini juga boleh menjadi ruang pembelajaran yang sihat untuk semua,” tambahnya lagi.
Kejayaan penganjuran Makar Fest XL yang memberangsangkan turut menarik sokongan syarikat besar apabila CelcomDigi tampil berbesar hati menyokong festival berkenaan, di sokong bersama Madoo Bee dan produk tempatan lain.
Menurut Ketua Perkhidmatan Jenama dan Pemasaran, CelcomDigi, Chan May Ling, pihaknya melihat Makar Fest XL sebagai manifestasi budaya belia hari ini iaitu penuh dinamik, kreatif, dan berpaksikan ekspresi diri.
Dalam pada itu, antara tarikan utama Makar Fest XL yang mencuri perhatian penaja ialah kejayaannya membuktikan bahawa festival hiburan bukan sekadar pentas hiburan, sebaliknya menjadi pemangkin ekonomi yang membina komuniti dan mencipta peluang rezeki tanpa mengorbankan nilai serta identiti tempatan.
Sebagai info, sepanjang tahun 2025, Makar Fest, penganjuran Red Bean Agency dan bersama Sunburst KL mencatat kejayaan membanggakan menerusi penganjuran berperingkat di pelbagai lokasi strategik, bermula di Kota Bharu pada Januari, disusuli Kuala Terengganu (Mei), Johor Bahru (Ogos) dan kemuncaknya Malaysia Sarong Music Run di Port Makar Fest KLCC pada September.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




