
Pengacara dan penyanyi Roslan Shah, atau lebih mesra disapa Cik Lan, tampil dengan kejutan istimewa sempena musim perayaan tahun ini apabila melancarkan muzik video lagu raya berjudul Alamak Terlepas Bus Raya.
Menurut Cik Lan, muzik video tersebut telah ditayangkan secara rasmi di saluran YouTube MBK Film Studio sejak 7 Mac lalu.
“Alhamdulillah, muzik video Alamak Terlepas Bus Raya sudah ditayangkan hari ini di YouTube MBK Film Studio. Ini kali pertama saya buat lagu raya yang lengkap dengan muzik video. Sebelum ini tak pernah buat lagi,” katanya.
Lagu tersebut merupakan hasil ciptaan komposer Akie Theflow, manakala liriknya pula ditulis bersama oleh Akie dan Cik Lan sendiri.
Cik Lan mengakui projek berkenaan pada awalnya hanya sekadar percubaan, namun dia tetap berharap ia dapat diterima oleh para peminat.
“Lagu ini sebenarnya sekadar mencuba saja. Kita tak tahu kalau ada rezeki dan peminat suka.
“Sebenarnya saya hadiahkan lagu ini kepada Gen Z yang selama ini menyokong saya, sebab itu saya pilih konsep lagu yang rancak,” katanya lagi.
Muzik video lagu berkenaan turut mendapat sokongan penajaan daripada syarikat kereta dari Singapura, NJ Cardealers.
Penggambaran pula dijalankan di Perkampungan Klang, Selangor, dan berjaya disiapkan dalam tempoh sehari walaupun berlangsung pada bulan Ramadan.
Bagi memeriahkan lagi visual muzik video tersebut, Cik Lan turut mendapatkan khidmat penari profesional dari Kuala Lumpur.
Projek ini diterbitkan dan dipasarkan oleh Ali Najib yang banyak menyumbang idea kreatif, manakala pengarahan muzik video dikendalikan oleh Fazly dengan kerjasama pihak penaja termasuk Ramadan dari NJ Cardealers.

Inspirasi Kisah Benar & Kolaborasi Artis
Dalam masa sama, Cik Lan turut menampilkan Yassin Yahya dalam projek lagu raya tahun ini susulan keserasian selepas pernah bekerjasama sebelum ini.
“Saya tawarkan Yassin Yahya untuk projek lagu raya 2026 ini sebab rasa serasi. Sebelum ini Yassin pernah sertai program Night Walk bersama saya dan saya lihat dia sangat komited, profesional serta mudah bekerjasama,” katanya.
Menariknya, lagu Alamak Terlepas Bus Raya turut diinspirasikan daripada pengalaman peribadi Cik Lan sendiri kira kira 20 tahun lalu.
“Cerita lagu ini datang daripada pengalaman saya sendiri. Dulu saya pernah terlepas bas ketika nak balik Singapura sebab jem teruk di Kuala Lumpur pada bulan puasa, lebih kurang tiga hari sebelum raya. Itu kenangan yang saya tak boleh lupa,” katanya.
Daripada pengalaman tersebut, Cik Lan bersama Akie Theflow akhirnya menghasilkan lirik yang membentuk jalan cerita lagu raya Alamak Terlepas Bus Raya.
Selain lagu tersebut, Cik Lan juga tampil dengan sebuah lagi lagu raya berjudul Sassuey Raya yang merupakan lagu duet bersama Ifa Raziah di bawah Impact Music Entertainment. Lagu itu dicipta oleh Ady 6ixth Sense, manakala liriknya ditulis oleh Emma Rocker.
Kehadiran dua lagu raya serentak pada tahun ini sekali gus memperlihatkan kesungguhan Cik Lan dalam memeriahkan sambutan Aidilfitri 2026 dengan karya yang berbeza warna dan pendekatan buat para peminat.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




