
Bintang K-pop terkenal, Rosé daripada kumpulan popular BLACKPINK mencipta sejarah tersendiri apabila diumumkan sebagai pemenang kategori Lagu Terbaik (Song of the Year) di pentas berprestij MTV Video Music Awards (VMA) 2025, yang berlangsung di UBS Arena, New York, semalam.
Rosé membawa pulang trofi berkenaan menerusi kolaborasi bersama penyanyi antarabangsa, Bruno Mars menerusi lagu berjudul APT.. Kejayaan itu sekaligus menjadikan beliau solois K-pop pertama meraih gelaran berkenaan dalam sejarah MTV VMA.
Lagu APT. nyata bukan biasa-biasa apabila mencatat rekod dunia sebagai lagu K-pop paling pantas mencecah 1 bilion tontonan di Spotify dalam tempoh 100 hari. Ia juga mengungguli carta Billboard Global 200 dan Global Excl. US, mengukuhkan kedudukan Rosé sebagai artis global berpengaruh.
Ketika menerima trofi di pentas, Rosé kelihatan sebak dan mengakui kemenangan itu sangat bermakna buat dirinya. Dalam ucapannya, penyanyi kelahiran New Zealand itu berkongsi, beliau mendedikasikan kejayaan itu kepada remaja 16 tahun dalam dirinya yang pernah berasa asing.
BACA JUGA: Rosé Blackpink Cipta Sejarah, Benam Rekod Mariah Carey
“Seperti nasihat yang sering diberikan oleh terapis saya setiap hari, saya ingin berterima kasih kepada diri sendiri kerana tidak pernah mengalah, meskipun melalui saat-saat paling sukar,” katanya penuh emosi, disambut sorakan gemuruh penonton.
Selain Rosé, malam bersejarah itu turut menyaksikan Lady Gaga mengungguli acara dengan empat trofi termasuk Artis Terbaik Tahun Ini (Artist of the Year). Sementara itu, Ariana Grande pula meraih Video Terbaik (Video of the Year) menerusi lagu Brighter Days Ahead.
BLACKPINK sendiri turut menambah kilauan pada malam itu apabila diumumkan sebagai pemenang kategori Kumpulan Terbaik (Best Group).
Kejayaan Rosé sekali lagi membuktikan pengaruh besar industri K-pop di pentas global. Lebih daripada sekadar hiburan, ia menjadi simbol pencapaian budaya Asia yang semakin diterima dan diraikan di serata dunia.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan