
Pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini memilih untuk menyerahkan kepada proses perundangan apabila namanya terpalit dengan kontroversi melibatkan tuntutan wang berjumlah RM1.3 juta oleh suami kepada pelakon Datin Intan Najuwa, Datuk Ahmad Azraf Azman.
Menurut mereka, setiap isu mempunyai dua sisi selain mengambil pendekatan untuk menghormati sepenuhnya perjalanan undang-undang yang sedang berlangsung.
Malah Rizman dan Ruzaini juga tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut buat masa ini berhubung perkara terbabit.
“Bagi saya, setiap cerita akan ada dua bahagian cerita. Akan tetapi dari pihak kami, saya tidak boleh berikan apa-apa komen sebab ia masih dalam prosiding mahkamah.
“Jadi, saya menghormati prosiding yang sedang berjalan ini. Sudah tentu setiap benda yang kami hadapi, saya rasa kita perlu ambil penyelesaian terbaik yang kita boleh,” kata Rizman.
Rizman memaklumkan perkara tersebut ketika ditemui semasa Pertunjukan Fesyen Raya Rizman Ruzaini 2026 di Shangri-La pada Khamis.
Dalam pada itu, Rizman turut menjelaskan, dia akan mengulas lanjut mengenai isu berkenaan pada masa yang bersesuaian.
“Bila sampai masa nanti, saya sendiri yang akan bercerita insya-Allah.
“Bila itu? Ia masih dalam prosiding mahkamh, jadi bila sudah selesai nanti saya sendiri akan bercerita. Kita tidak boleh cepat melatah,” tambahnya.
Selain itu, Rizman menyifatkan isu berkenaan tidak menjejaskan sokongan dan reputasi mereka sebagai pereka fesyen yang telah bertapak sejak 20 tahun lalu, terutamanya daripada pelanggan setia.
“Sokongan pembeli sangat kuat, Alhamdulillah. Jadi saya rasa mungkin benda itu tidak menjadi isu kepada peminat-peminat rekaan Rizman Ruzaini.
“Sokongan yang diberikan mereka itu sangat kuat sampai sekarang,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kritikan serta pandangan sinis segelintir pihak, Ruzaini enggan mengambil berat terhadap perkara tersebut.
“Bagi saya lah, itu pandangan masing-masing. Ada masa kita di atas, ada masa kita di bawah. Tapi macam mana kita harungi masalah itu.
“Bagi saya itu hak mereka untuk berkata-kata,” ujarnya.
Sebelum ini, Intan Najuwa mendedahkan suaminya, Datuk Ahmad Azraf Azman memenangi kes saman terhadap Rizman Ruzaini yang membabitkan tuntutan bayaran semula pinjaman berjumlah RM1.3 juta.
Pendedahan itu dibuat oleh Intan menerusi laman Instagram miliknya dengan memuat naik dokumen penghakiman daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, selepas hampir tiga tahun memilih untuk berdiam diri bagi menghormati proses undang-undang.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.