
Penyanyi tersohor antarabangsa dan usahawan berjaya, Rihanna, kini melangkah ke fasa baharu dalam kehidupan berkeluarga apabila beliau dan pasangannya, rapper terkenal A$AP Rocky, dikurniakan cahaya mata perempuan pertama pada 13 September lalu.
Kehadiran bayi comel itu sekali gus melengkapkan kebahagiaan keluarga kecil pasangan selebriti berpengaruh ini. Berita gembira tersebut dikongsikan sendiri Rihanna menerusi laman Instagram miliknya hari ini.
Dalam hantaran tersebut, penyanyi kelahiran Barbados berusia 37 tahun itu memuat naik foto dirinya sedang mendukung bayi berbalut pakaian serba merah jambu dengan kapsyen ringkas nama anak perempuannya itu, “Rocki Irish Mayers Sept 13 2025.”
Dalam hantaran itu juga, pelantun lagu popular Diamond itu, turut memuat naik foto simbolik sarung tinju siap riben berona merah jambu menandakan jantina anak ketiganya itu.
Rihanna dan A$AP Rocky sebelum ini sudah pun bergelar ibu bapa kepada dua anak lelaki, iaitu RZA Athelston Mayers yang lahir pada Mei 2022, serta Riot Rose Mayers yang menyusul pada Ogos 2023.
Kehadiran Rocki sebagai anak perempuan pertama mereka dilihat melengkapkan lagi susunan keluarga yang kini diwarnai dengan kehadiran seorang puteri.
Kehamilan Rihanna kali ini mula disedari umum ketika acara berprestij Met Gala 2025, apabila usahawan yang terkenal dengan jenama kecantikan Fenty itu tampil berani memperlihatkan ‘baby bump’ di karpet merah.
Sejak daripada itu, khabar angin mengenai jantina bayi menjadi perbualan hangat peminat, khususnya selepas A$AP Rocky sendiri dalam satu wawancara menyatakan harapan agar dikurniakan seorang anak perempuan.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan