Categories: Berita Hiburan

Rezeki RM10,000, Telefon Pintar & TV 65 Inci! – Ezaidi Aziz & Nazrin Zulkafli Juara WHAM Pickleball, Ayie Floor 88 Pula Menang Cabutan Bertuah Utama

Share

Pelakon Ezaidi Aziz bersama wartawan mStar, Nazrin Zulkafli, dinobatkan sebagai juara edisi sulung acara WHAM Pickleball With The Stars selepas mempamerkan aksi konsisten di gelanggang menentang pihak lawan.

Program anjuran Persatuan Wartawan & Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) itu juga berjaya mencipta kemeriahan tersendiri apabila menghimpunkan seramai 25 selebriti popular bersama 25 ahli WHAM dalam satu acara sukan santai penuh aksi dan semangat kekitaan.

Acara perlawanan yang berlangsung di Pickle X i-City Shah Alam, Selangor selaku penaja lokasi pada Jumaat itu bermula sekitar jam 8 malam dan menyaksikan persaingan sengit sejak perlawanan pembukaan.

Walaupun berkonsepkan sukan santai, setiap perlawanan berlangsung kompetitif dengan sorakan gemuruh peserta dan penonton, sekali gus mencetuskan suasana meriah sepanjang acara berlangsung.

Kemenangan tersebut membolehkan pasangan berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000 berserta hadiah iringan.

Naib juara pula menjadi milik pempengaruh Faiz Dickie yang bergandingan dengan wartawan juga dari mStar, Farol Hadi, sekali gus membawa wang tunai RM3,000 dan hadiah iringan.

Bagi tempat ketiga dan keempat pula disandang penyanyi Haqiem Rusli yang bergandingan dengan Faiq Fahmi Adenan (Melodi) serta pelakon Izzul Faiq bersama Muhammad Izzad Farhan Amier Zaini (Melodi).

Masing-masing membawa pulang wang tunai RM2,000 dan RM1,000, melengkapkan senarai pemenang bagi edisi sulung acara berkenaan.

Sementara itu, bagi kategori Pairing Paling Sporting pula dimenangi oleh pelakon Trisha Ooi bersama Penolong Pengarang Berita Hiburan Harian Metro, Wan Asrudi Wan Hasan yang membawa pulang hadiah wang tunai RM500 sumbangan Sevoce Studio.

Hadiah Cabutan Bertuah Meriah!

Sebelum perlawanan bermula, acara dimulakan dengan aktiviti zumba sebagai pemanas badan yang ditaja oleh Antava Projects.

Antara selebriti yang turun padang menyertai perlawanan ini termasuk Aeril Zafrel, Bella Astillah, Zahiril Adzim, Sheira Ayob, Yasmin Hani dan Ayie Floor 88.

Turut mengambil bahagian ialah Sarah Suhairi, Zizi Kirana, Adam Lee, Afieq Shazwan, Wani Kayrie dan El Azman yang jelas teruja mencuba sukan pickleball buat julung kalinya.

Turut serta menjayakan program itu ialah penyanyi Fairuz Selamat, Badron Munirah, Luqman Faiz, Hariz Hamdan, Trisha Ooi, Syahir Shafein, Shaffiq Erwin, Nurel Bahrin serta Kim Azzim.

Selain perlawanan pickleball, acara turut diserikan dengan sesi cabutan bertuah yang dibuka kepada semua peserta dan ahli WHAM.

Rezeki Ayie & Haqiem

Vokalis Floor 88, Ayie Elham mencuri tumpuan apabila membawa pulang hadiah utama berupa sebuah telefon pintar, manakala Haqiem Rusli pula bertuah memenangi sebuah televisyen bersaiz 65 inci.

Cabutan bertuah turut disokong penaja Al Aqsa Carpets dengan hadiah dua karpet premium, yang turut dihadiri pemiliknya iaitu pelakon Dazrin Kamarudin.

Antara penaja lain yang menjayakan program ini adalah Wawa Global, D’Herbs Terlajak Laris, Elrah Exclusive, Pickle X, Kanda (jersi rasmi), SN Legacy, ASICS serta Kunafa Aiwahhh.

Selain itu, acara turut disokong dengan tajaan dan sokongan daripada Glad2Glow, Mak Jenny, Mega Film Distribution, Plan E Solutions, SAC Garment, Roslan Shah, Nun Ha, Alyah Beauty, Mask Team, IIAN, AK Events dan Love Music Fest.

Acara itu turut dihadiri oleh Setiausaha WHAM, Sudirman Mohd Tahir.

Bagi penganjuran sulung ini, Wham Pickleball With The Stars dilihat bukan sahaja berjaya mencipta persaingan sengit dan menghiburkan, malah menjadi platform berkesan dalam mengeratkan silaturahim antara pengamal media dan selebriti tempatan dalam suasana santai serta penuh semangat.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH