Istana Buckingham mengesahkan bahawa Raja Charles III telah mengambil langkah drastik dengan mencabut semua gelaran diraja dan kehormatan rasmi milik adiknya, Prince Andrew, susulan tekanan berterusan terhadap reputasi monarki British.
Dalam satu kenyataan rasmi, pihak istana memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat selepas Raja Charles meneliti semula kedudukan Duke of York tersebut yang sebelum ini dikaitkan dengan pelbagai kontroversi, termasuk hubungannya dengan jutawan pesalah seks, Jeffrey Epstein.
Dengan keputusan berkenaan, Prince Andrew tidak lagi akan dikenali sebagai ‘His Royal Highness’ atau ‘Prince Andrew’, sebaliknya hanya menggunakan nama rasmi Andrew Mountbatten-Windsor dalam urusan awam.
Seiring dengan itu, beliau juga telah diminta untuk mengosongkan kediamannya di Royal Lodge, Windsor, dan berpindah ke penginapan lain di bawah kawalan estet diraja.
Tindakan tersebut menandakan salah satu detik paling tegas dalam sejarah monarki moden Britain apabila seorang ahli keluarga diraja dicabut gelaran secara rasmi oleh raja yang memerintah.
BACA JUGA: Meghan Markle Dituduh Tiru Logo Bandar Sepanyol? Datuk Bandar: “Kami Tak Mampu Nak Saman.”
Pemerhati istana berpendapat langkah itu menunjukkan kesungguhan Raja Charles untuk memperkukuh semula integriti dan imej institusi diraja, yang sebelum ini tercalar akibat skandal membabitkan adiknya.
Putera Andrew sebelum ini berundur daripada menjalankan tugas rasmi sejak tahun 2019 selepas terpalit dengan tuduhan salah laku, meskipun beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan.
Sumber diraja turut mendedahkan bahawa semua gelaran kehormat ketenteraan yang pernah dipegang oleh Andrew turut digugurkan, termasuk jawatan sebagai Kolonel dalam beberapa rejimen tentera British.
Walaupun beliau masih memiliki gelaran Duke of York secara teknikal, gelaran itu kini berada dalam status ‘tidak aktif’ dan tidak akan digunakan dalam sebarang urusan rasmi.
Waalupun kini dikenali sebagai Andrew Mountbatten-Windsor sahaja, kedua-dua anak Putera Andrew iaitu Puteri Eugenie dan Puteri Beatrice tetap mengekalkan gelaran Diraja mereka sebagai cucu kepada mendiang Ratu Elizabeth II.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi TikTok, Instagram, Facebook & Telegram Media Hiburan

