
Pelakon Eyka Farhana, akui dirinya berdepan cabaran untuk meneruskan ibadah berpuasa ketika usia kehamilannya kini memasuki trimester ketiga.
Menurut Eyka atau nama sebenarnya, Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi, meskipun dia mencuba untuk berpuasa penuh, namum, ada kalanya, kondisi badan dan kehamilannya tidak mengizinkannya untuk terus menahan lapar dan dahaga.

“Berpuasa ketika hamil ini memang sangat mencabar. Saya sudah cuba banyak kali. Saya juga mendengar nasihat daripada doktor saya. Katanya, kalau saya tak larat, saya boleh tak berpuasa.
“Ada hari yang saya larat dan ada sesetengah hari yang saya memang tak larat,” katanya kepada MH.
Perkara itu dikongsikan oleh isteri kepada pemain bola sepak Terengganu, Akhyar Rashid ketika ditemui di sesi rakaman program, Bombastika Raya 2026 yang berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Dalam masa sama, Eyka memaklumkan dirinya hanya melalui fasa mengidam yang normal dan tidak terlalu pelik.

“Sewaktu awal kehamilan, pada pukul tiga pagi, saya mengidam sangat nak makan durian. Nasib baik ketika itu saya berada di Kuala Lumpur dan kita boleh pesan secara atas talian.
“Bila sampai, saya hanya makan seulas sahaja. Selepas itu, saya sudah tidak mahu lagi. Mengidam yang pelik-pelik itu tiada. Alhamdulillah semuanya okay sahaja,” kongsinya.
Suami ‘Mengidam’
Jelas Eyka lagi, dia merasakan suaminya pula yang berkelakuan agak pelik seterusnya mendorongnya untuk membuat ujian kehamilan, sebelum ini.

“Salah satu sebab saya nak cuba buat pemeriksaan kehamilan adalah kerana suami saya. Ketika itu, saya kerap berjalan jauh atas urusan kerja. Pada waktu itu, Akhyar pun tak perasan yang saya sedang hamil.
“Ada satu ketika, suami saya kerap muntah-muntah. Bila latihan pun selalu rasa mual. Dia juga mengidam nak makan jagung bakar. Saya tak pernah tahu pun dia suka makan jagung bakar.
“Dia juga rasa sangat teringin nak makan jeruk buah pelam yang pokoknya berada di tempat latihannya. Dia sanggup panjat pokok itu.
“Bila Akhyar ada simtom-simtom seperti orang hamil, saya terdetik nak buat ujian kehamilan. Keputusannya saya memang sah hamil. Sejak itu, saya rasa suami saya lagi banyak mengidam daripada saya,” ujarnya lagi.
Ditanya bagaimana dia mengharungi fasa hubungan jarak jauh ketika sedang sarat hamil, Eyka memaklumkan dirinya sangat bersyukur kerana dikurniakan suami dan keluarga yang sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi.

“Ketika hamil, hal paling penting adalah kita kena menjaga bab pemakanan, kesihatan mental dan sokongan orang terdekat. Alhamdulillah saya dapat sokongan penuh daripada keluarga dan suami.
“Saya juga faham jadual kerja Akhyar yang sangat padat. Namun, bila dia ada waktu cuti walaupun satu atau dua hari, dia tetap akan balik ke Kuala Lumpur.
“Ketika hamil ini, saya banyak berehat. Ada ketika, saya akan berehat di Terengganu selama satu atau dua minggu.
“Untuk berjauhan itu, saya rasa tiada masalah. Asalkan kita tahu bahagi masa,” akhirinya.
Sekadar informasi, Eyka dan Akhyar mendirikan rumah tangga pada tanggal 2 Mei 2024 dalam sebuah majlis tertutup.
Pada Februari lalu, Eyka berkongsi khabar gembira memaklumkan dirinya sedang hamil cahaya mata sulung.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




