
Demi memastikan persembahan terbaik setiap minggu, juara Muzikal Lawak Superstar musim ke-5 (MLS5), Nanas, sanggup berbelanja besar untuk menghasilkan prop mereka sendiri.
Menurut salah seorang anggotanya iaitu Namie, hampir kesemua prop yang digunakan oleh Nanas sepanjang pertandingan MLS5 adalah hasil ciptaan pelawak, Achey.

“Jika nak cerita secara terperinci, tak manis pula. Apa yang boleh saya katakan, pada persembahan final ini sahaja, ia mencecah empat angka.
“Namun, jika dikira secara keseluruhan, ia boleh mencecah sehingga ke lima angka,” katanya pada sesi sidang MLS5 Akhir di Royal Theatre, Shah Alam pada Sabtu.
Malam tadi, Nanas diumumkan sebagai juara dan membawa pulang hadiah utama wang tunai RM150,000 beserta trofi.

Sementara itu, Achey pula memaklumkan dia tidak kisah untuk mengorbankan masa dan tenaga demi memenuhi kehendak kumpulannya demi hasil yang diharap-harapkan.

“Ada satu perkara yang saya bagitahu kepada Namie dan Shashic, apa sahaja yang mereka order, saya akan buat.
“Itu semua ada idea-idea mereka dan saya hanya merialisasikan idea itu. Pada hari ini (Sabtu), saya tidur pada jam 7 pagi dan berjaga sejak hari sebelumnya. Hampir 24 jam tidak tidur.
“Kalau saya dapat buat satu prop itu dan mereka puas hati, rasa sangat puas,” ujarnya lagi.
Kasih Hormat Sesama Kumpulan
Dalam masa sama, Namie menegaskan, mereka tidak pernah mengetepikan sumbangan pasukan prop produksi, namun ada beberapa keperluan yang membuatkan mereka terpaksa bertindak sendiri.

“Kami bukan mengetepikan team prop daripada pihak produksi. Kami juga sedar dan seperti orang tahu, prop-prop yang kami hasilkan itu sangat susah untuk dibuat.
“Jadi, kalau kami minta dan tak dapat apa yang diinginkan, mungkin nanti akan jadi perbalahan atau salah faham. Dengan rasa rendah diri, kami minta izin dahulu kepada team prop.
“Namun, kami ada juga gunakan barang-barang daripada team prop seperti singah sana dan keranda. Itu adalah win-win situation,” kongsinya lagi.
Berkongsi tentang keserasian kumpulan, Achey menyifatkan Namie dan Shashic sebagai bakat muda luar biasa yang kreatif dalam mencipta idea dalam persembahan lawak.

“Mereka ialah adik-adik saya. Bila mereka mencadangkan nama saya untuk bertanding di MLS5, saya berbangga. Kebanyakkan kumpulan lain, mereka ada dua orang senior dan satu orang baharu.
“Berbeza bagi Nanas, kita ada dua pelawak baharu dan seorang senior. Jadi, saya turunkan ego saya dan beri ruang untuk mereka berkarya.
“Apa yang anda lihat di atas pentas, kebanyakkannya idea mereka dan saya hanya buat penambahan sahaja,” akhirinya.
Kepada yang terlepas menyaksikan Muzikal Lawak Superstar Musim ke 5 ini, anda boleh saksikan di Astro One dan sooka.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




