Categories: Berita Hiburan

“Perginya Sahabat Yang…,” – Fizo Omar Kenang Budi Baik & Keikhlasan Allahyarham Along Ezendy

Share

Pemergian pelakon Along Ezendy pada pagi Ahad nyata meninggalkan kesan mendalam buat rakan seperjuangan dalam industri seni, termasuk aktor dan usahawan, Fizo Omar.

Menerusi satu perkongsian di Instagram, Fizo meluahkan rasa kehilangan terhadap sahabat yang disifatkan sebagai insan berhati mulia, sentiasa tenang serta tidak pernah lokek berkongsi ilmu.

Jelasnya lagi, arwah banyak meninggalkan kenangan manis terutamanya ketika mereka sama-sama baru melangkah ke dunia lakonan menerusi drama Bionik.

“Perginya seorang sahabat yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata, betapa baik hatinya dan tidak pernah lokek ilmunya.

“Banyak kenangan bersama arwah masa kami baru-baru nak mula berlakon dalam drama Bionik.

“Arwah Along inilah yang banyak guide dan bagi semangat kepada kami budak-budak baru masa itu.

“Sentiasa tenang dan sabar, itulah Along dalam setiap cabaran yang dilalui.

“Semoga Along tenang di sana dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” tulisnya.

Luahan tersebut turut menerima reaksi dan ucapan takziah daripada rakan artis serta peminat yang sama-sama terkesan dengan pemergian arwah.

Perjalanan Seni Allahyarham

Terdahulu, Along Ezendy atau nama sebenarnya Mohd Eyzendy Mohd Aziz, 47, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor, kira-kira pukul 12.16 pagi Ahad.

Berita sedih itu disahkan isterinya, Hamidah Mohd Yatim

, yang memaklumkan Allahyarham meninggal dunia di sisi ahli keluarga.

Khamis lalu, Allahyarham ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat pendarahan serius dalam perut.

Sebelum itu, arwah dimasukkan ke hospital selepas mengalami demam dan batuk berpanjangan, sebelum disyaki terdapat jangkitan pada stent di saluran hempedu.

Sepanjang penglibatan dalam industri hiburan secara serius sejak tahun 2003, arwah telah membintangi pelbagai filem dan drama antaranya Lagenda Budak Hostel, Khurafat: Perjanjian Syaitan, Lu Pikirlah Sendiri de Movie, Bini-Bini Perkasa, Keranamu Laila dan banyak lagi.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Hamidah Mohd Yatim, serta tiga orang anak.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH