
Penyanyi dan penulis lagu, Amylea Azizan mengakui dirinya melalui fasa depresi dan kemurungan selepas bercerai dengan bekas suami, Mohammad Aqbar Mohamad pada awal tahun lalu.
Bagaimanapun, Amylea memaklumkan dia kini sudah kembali bangkit dan enggan lagi terbuai dengan kenangan silam yang menyakitkan.

“Kisah perceraian ini sudah berlaku agak lama. Cuma saya baru sahaja kongsikan, baru-baru ini. Segala rasa simpati dan kata-kata semangat yang diberikan, saya sangat hargai.
“Malah, fasa depresi dan kesedihan itu juga sudah pun berlalu. Saya lebih selesa melalui fasa itu sendirian. Saya tak suka berkongsi di media sosial.
“Dalam keadaan marah, saya risau kita akan terlebih berkongsi dan mengeluarkan kata-kata yang akan buat kita menyesal di kemudian hari.
“Saya tak nak mengeruhkan emosi orang-orang lain. Hubungan saya bersama keluarga mentua dan anak-anak tiri masih baik. Saya tak nak orang bercakap-cakap,” katanya kepada MH.
Amylea berkata demikian ketika ditemui di konsert minggu ketiga Gegar Vaganza 12 (GV12) di Auditorium MBSA, Shah Alam, Ahad lalu.

Dalam masa sama, Amylea turut mengulas mengenai perkongsian di media sosial yang memaparkan dirinya memadam foto-foto lama bersama bekas suami.
“Saya padam gambar-gambar lama sebagai tanda saya sudah okay dan mahu melupakan. Fasa marah itu sudah berlalu. Saya ambil masa agak lama untuk padam gambar-gambar itu.
“Kini, saya sudah move on. Rasanya lebih adil untuk saya melangkah ke fasa baharu dengan memadam pekara-perkara yang boleh mengguris perasaan sendiri,” ujarnya lagi.
Amylea menambah, perkahwinannya memang sudah tidak dapat diselamatkan meskipun sudah beberapa kali dia memberi peluang kepada bekas suami.

“Perkahwinan itu sebenarnya tidak kekal lama. Sejak tahun lepas lagi, kami menghadapi ujian dan masalah yang sangat besar.
“Namun, saya tetap cuba beri peluang. Hubungan itu betul-betul berakhir sejak awal tahun lalu.
“Saya tak nak dedahkan waktu yang spesifik kerana pada ketika itu, hubungan bersama mentua dan anak-anak tiri masih baik. Biarlah saya dan keluarga terdekat sahaja tahu,” kongsinya.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Tak Pernah Hilang ini tetap percaya segala yang berlaku mempunyai hikmahnya tersendiri.

“Saya percaya pada qada’ dan qadar. Apa yang berlaku kepada saya ini, saya pasti Allah ingin berikan sesuatu yang baik. Saya juga kini sudah mula nampak hikmah kepada kegagalan rumah tangga saya.
“Allah ingin gantikan sesuatu yang lebih baik. Sepanjang fasa kemurungan itu, saya banyak bercakap dengan Allah sahaja. Bunyinya mungkin agak cliche tapi itulah realitinya,” ujarnya.
Mengenali Orang Baharu
Sementara itu, Amylea memaklumkan dia kini dalam proses untuk mengenali seseorang.

“Antara sebab saya perlu buat kenyataan tentang perceraian saya di media sosial, baru-baru ini adalah kerana saya tidak mahu menimbulkan sebarang fitnah jika ada yang melihat saya keluar dengan orang lain.
“Apa yang boleh saya katakan, saya kini dalam fasa sedang mengenali seseorang yang baharu,” akhirinya.
Pada Oktober lalu, Amylea menerusi hantaran di Instagram mendedahkan dia sudah sah bercerai dengan bekas suami dan tamat tempoh idah, namun tidak memaklumkan tarikh sebenar perceraian.
Sebelum itu, Amylea dan Mohammad Aqbar memaklumkan mereka bernikah pada November 2023, tanpa mendedahkan tarikh sebenar majlis perkahwinan.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
Kredit Foto: Instagram Amylea Azizan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!





