
Dunia kesusasteraan antarabangsa kehilangan seorang tokoh tersohor apabila penulis terkenal Britain, Sophie Kinsella, meninggal dunia pada 10 Disember selepas bergelut dengan penyakit kanser otak jenis agresif, glioblastoma.
Menutup hidup pada usia 55 tahun, Sophie atau nama sebenarnya Madeleine Sophie Wickham, dikenali sebagai pengarang siri Shopaholic yang mencetus fenomena global sehingga melahirkan filem Confessions of a Shopaholic pada 2009.
Beliau sebelum ini bertugas sebagai wartawan kewangan sebelum beralih kepada penulisan kreatif pada pertengahan 1990an. Ketika menggunakan nama sebenarnya sebagai penulis, sebanyak tujuh buah novel dihasilkan.
Namun, sejak kemunculan novel pertamanya di bawah nama pena Sophie Kinsella pada tahun 2000, karya beliau segera meraih tempat di hati pembaca melalui gaya penulisan yang segar dan dekat dengan realiti kehidupan moden.
Siri Shopaholic sahaja telah terjual lebih 45 juta naskhah di seluruh dunia dan diterjemah ke dalam puluhan bahasa, menjadikan beliau antara penulis paling berpengaruh dalam genre komedi romantik.

Menurut kenyataan dikeluarkan keluarganya, Sophie disahkan menghidap kanser glioblastoma pada hujung 2022. Namun, diagnosis tersebut hanya dikongsi kepada umum pada April 2024 selepas keluarganya meminta masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan berkenaan.
Sophie dilaporkan menghembuskan nafas terakhir dalam suasana tenang, dikelilingi ahli keluarga terdekat. Pemergiannya meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja kepada pembaca setia, tetapi juga kepada industri penerbitan yang mengangkat beliau sebagai antara penggerak utama kebangkitan genre chick-lit pada era 2000-an.
Sepanjang kerjayanya, beliau turut menghasilkan beberapa novel lain untuk golongan dewasa dan remaja, memperlihatkan kemampuan beliau mengekalkan suara penulisan yang konsisten serta memikat.
Telah menghasilkan puluhan novel sepanjang kerjayanya sebagai penulis, novel terakhir nukilan Sophie iaitu What Does It Feel? telah diterbitkan pada Oktober 2024. Novel separuh-fiksyen itu mengambil inspirasi daripada keadaan dirinya yang baru didiagnos kanser.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi TikTok, Instagram, Facebook & Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




