
Pengulas sukan terkenal, Mark Sanchez, berdepan tindakan undang-undang selepas ditahan polis susulan satu insiden pergaduhan yang berakhir dengan dirinya ditikam oleh seorang lelaki warga emas, hujung minggu lalu.
Menurut laporan Associated Press (AP) dan ABC News, kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 pagi di lorong belakang sebuah hotel di pusat bandar Indianapolis.
Ketika itu, Sanchez dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol dan bertengkar dengan seorang lelaki berusia 69 tahun yang sedang bekerja memunggah minyak masak terpakai menggunakan trak khas.
Pertikaian mulut itu bertukar ganas apabila Sanchez dikatakan menolak dan menumbuk lelaki tersebut ke dinding bangunan. Lelaki berkenaan kemudiannya cuba mempertahankan diri dengan menyembur pepper spray ke arah Sanchez.
Namun apabila bekas pemain NFL itu terus menghampiri dalam keadaan agresif, lelaki itu bertindak menikam Sanchez beberapa kali menggunakan pisau lipat yang dibawanya untuk tujuan kerja.
Sanchez mengalami kecederaan di bahagian torso dan segera dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Lelaki warga emas itu turut cedera di bahagian pipi akibat pergelutan tersebut.
Selepas menerima rawatan, Sanchez kemudiannya ditahan pihak berkuasa kerana dipercayai memulakan serangan fizikal terlebih dahulu.
Beliau kini didakwa atas beberapa kesalahan termasuk battery menyebabkan kecederaan serius, pencerobohan kenderaan, serta berada di bawah pengaruh alkohol di tempat awam.
Pendakwa raya Marion County turut menaikkan salah satu pertuduhan kepada tahap felony iaitu kesalahan jenayah berat yang boleh membawa hukuman penjara antara 1 hingga 6 tahun sekiranya didapati bersalah.
Dalam masa sama, lelaki berusia 69 tahun itu turut memfailkan saman sivil terhadap Sanchez dan majikannya, Fox Sports, mendakwa kecederaan yang dialaminya menyebabkan kecacatan kekal serta menjejaskan pendapatannya.
Menerusi kenyataan rasmi, keluarga Sanchez memohon ruang untuk proses pemulihan dan menyerahkan sepenuhnya kepada siasatan pihak berkuasa. Fox Sports pula mengesahkan telah menggantung tugas Sanchez sebagai pengulas buat sementara waktu sehingga kes diselesaikan.
Imbas kembali, Sanchez, 38, pernah terkenal sebagai quarterback pasukan New York Jets dan membawa pasukan itu ke AFC Championship dua kali berturut-turut sebelum bersara dan menjadi penganalisis sukan di Fox Sports sejak tahun 2021.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

Keyakinan Bermula Dari Dalam
Rasai kebaikan vitamin & probiotik dalam KITSUI Whitie Snow, bantu kulit tampak lebih sihat & berseri.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




