
Dunia hiburan Hollywood dikejutkan dengan berita kematian pengarah dan pelakon tersohor, Rob Reiner, dan isterinya, Michele Singer Reiner, yang ditemui meninggal dunia di kediaman mereka di Brentwood, Los Angeles, pada Ahad.
Menurut laporan awal pihak berkuasa, pasangan suami isteri itu ditemui tidak bernyawa selepas pasukan kecemasan menerima panggilan ke rumah berkenaan pada petang waktu tempatan. Identiti kedua-dua mangsa disahkan sebagai Rob Reiner, 78, dan isterinya Michele, 68.
Pihak Los Angeles Police Department (LAPD) mengesahkan satu siasatan pembunuhan telah dibuka selepas pemeriksaan awal mendapati terdapat kecederaan yang mencurigakan pada kedua-dua mangsa.
Menurut laporan lagi, kedua-dua mereka mengalami kecederaan akibat luka kelar yang konsisten dengan serangan menggunakan senjata tajam. Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Rob Reiner merupakan antara tokoh pengarah paling berpengaruh dalam industri perfileman Hollywood, dikenali menerusi karya ikonik seperti This Is Spinal Tap
, Stand By Me, The Princess Bride, When Harry Met Sally… serta A Few Good Men.Selain mengarah beliau juga aktif sebagai pelakon dan pernah muncul dalam puluhan filem termasuklah The Wolf of The Wall Street, And So It Goes dan Sleepless In Seatle.
Rob berkahwin dengan Michele Singer pada 1989 dan pasangan itu dikurniakan tiga orang anak. Mereka dikenali sebagai pasangan yang jarang terpalit kontroversi serta aktif dalam kegiatan kebajikan dan seni.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan