
Pelakon siri terkenal “The Walking Dead”, Kelley Mack, telah meninggal dunia pada usia 33 tahun di kampung halamannya di Cincinnati, selepas bertarung dengan penyakit glioma sistem saraf pusat, sejenis tumor yang menyerang otak atau saraf tunjang.
Kelly atau nama penuhnya Kelley Klebenow, dilaporkan menghembuskan nafas terakhirnya dengan tenang pada hari Sabtu lalu, menurut kenyataan yang dimuat naik di laman CaringBridge.
Perkara itu turut disahkan menerusi hantaran Instagram rasmi milik mendiang pada Selasa lalu dengan gambar beliau serta ucapan penuh emosi bertulis, “Dengan kesedihan yang tidak terhingga, kami mengumumkan pemergian Kelley yang kami kasihi. Cahaya yang begitu terang dan penuh semangat itu telah pergi ke alam yang abadi, tempat yang akhirnya akan kita tuju juga”
Ucapan takziah turut membanjiri media sosial daripada rakan-rakan industri dan peminat yang mengenali beliau sebagai seorang yang “berbakat” dan “berjiwa lembut”.
Rakan pelakon siri berkenaan, Alanna Masterson, turut berkongsi kesedihannya menerusi platform media sosial: “Dia seorang insan yang luar biasa. Saya sangat berbangga kerana dapat berjuang bersama dengannya dalam episod terakhir kami bersama,” tulisnya.
Sepanjang kerjaya seninya, Kelly mencatatkan 35 kredit lakonan dan lima kredit penerbitan, termasuk watak Addy dalam musim kesembilan “The Walking Dead”, Penelope Jacobs dalam “Chicago Med” dan penampilan dalam siri popular “9-1-1” terbitan FOX.
Beliau turut aktif dalam bidang iklan dan alih suara, pernah membintangi kempen komersial untuk jenama seperti Dr. Pepper, Ross Stores, Dairy Queen dan Chick-fil-A. Minatnya dalam bidang penceritaan mula berputik sejak kecil apabila menerima kamera video mini sebagai hadiah ulang tahun.
Mack merupakan lulusan Sekolah Tinggi Hinsdale Central dan memperoleh ijazah Sarjana Muda dalam bidang sinematografi dari Dodge College of Film and Media Arts, Chapman University, California.
Beliau meninggalkan kedua ibu bapanya Kristen dan Lindsay Klebenow, adik-beradik Kathryn dan Parker, datuk dan neneknya Lois dan Larry Klebenow, serta teman lelakinya, Logan Lanier.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




