
Pelakon dan model Indonesia, Safira Ratu Sofya, mendedahkan beliau memikul tanggungjawab sebagai sumber pendapatan keluarga sejak kecil namun tidak pernah memegang sendiri gaji hasil kerjaya seninya.
Dalam satu rakaman video yang tular di media sosial, Ratu Sofya menyatakan sepanjang terlibat dalam pelbagai projek lakonan dan penggambaran, urusan kontrak serta pembayaran dikendalikan oleh ibunya.
Berikutan itu beliau tidak mempunyai kawalan langsung terhadap pendapatan yang diperoleh sepanjang bergelar anak seni.
Menurutnya, pendapatan berkenaan digunakan bagi menampung keperluan harian keluarga, kos pendidikan adik beradik serta perbelanjaan perubatan, sehinggakan untuk pakciknya yang memerlukan rawatan berterusan, sekali gus menjadikan beliau sebagai sumber kewangan utama keluarga sejak usia muda.
“Saya menyekolahkan adik-adik saya, saya membayar kos perubatan pak cik saya, saya membayar ubat-ubatannya setiap hari.
“Saya membayar perubatan ibu saya, datuk saya sakit. Itu adalah hasil kerja saya sejak kecil. Untuk memenuhi keperluan rumah tangga juga,” kongsinya seperti dilaporkan oleh kapanlagi.com.
Pendedahan itu turut dikaitkan dengan krisis hubungan antara Ratu Sofya dan ibunya, yang dilaporkan tegang sejak kebelakangan ini susulan perbezaan pandangan mengenai pengurusan kewangan dan kehidupan peribadi pelakon berkenaan.
Situasi itu dipercayai mencetuskan tekanan emosi yang berpanjangan sehingga mendorong Ratu Sofya memilih untuk bersuara secara terbuka bagi menjelaskan realiti sebenar kehidupannya di sebalik imej glamor sebagai selebriti muda.
Imbas kembali, Ratu Sofya memulakan kerjayanya sejak berusia 13 tahun lagi. Antara filem lakonannya seperti Bisikan Iblis, Siksa Neraka dan Dinda.
Setakat ini, pihak keluarga atau wakil pengurusan Ratu Sofya masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas berhubung pendedahan yang dibuat oleh pelakon itu.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




