
Pelakon wanita Malaysia yang dilaporkan hilang sebelum ini, Nadia Kesuma, disahkan telah meninggal dunia akibat sakit jantung ketika berada di Jeddah, Arab Saudi, pada 15 Januari lalu.
Pemergian Allahyarhamah disahkan oleh suaminya, Prof. Dr. Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah menerusi satu hantaran di media sosial, sekali gus menamatkan kebimbangan keluarga serta rakan-rakan yang sebelum ini menantikan khabar mengenai keberadaan pelakon berkenaan.
Dalam hantaran tersebut, suaminya menggambarkan Allahyarhamah sebagai seorang isteri yang setia, penyayang dan sentiasa memberikan sokongan penuh sepanjang kehidupan berumah tangga mereka.
“Assalamualaikum, dengan perasaan amat sedih dan pilu, saya ingin memaklumkan pemergian isteri tercinta saya, Nadiah Kasumawati binti Abdul Karim, yang meninggal dunia dengan tenang di tanah para anbiya, Jeddah, pada 15 Januari 2026 pukul 8.07 pagi.”
“Semoga Allah mengurniakan keampunan kepadanya. Sayangku, aku akan sentiasa merindui dirimu. Aku bersyukur dapat mengiringimu ke destinasi terakhirmu. Aku mencintaimu dan insya-Allah kita akan bertemu kembali, mudah-mudahan di syurga. Ya Allah, sesungguhnya kami datang daripada-Mu dan kepada-Mu kami kembali,” katanya.

Imbas kembali, Nadia, 50, berada di Jeddah bagi menyertai rombongan umrah dan ziarah bersama sekumpulan jemaah dari Malaysia.
Bagaimanapun, beliau dilaporkan tidak dapat dikesan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, sekali gus mencetuskan kebimbangan apabila gagal dihubungi dan tidak bersama kumpulan bagi penerbangan seterusnya ke London.
Nadia Kesuma atau nama sebenarnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim dikenali sebagai antara pelakon wanita yang pernah menghiasi kaca televisyen menerusi beberapa naskhah drama tempatan dan filem tempatan.
Antara karya lakonannya seperti Syaitan Munafik, Kudeta, Cinta Bukan Milik Kita dan Manuskrip Cinta Ayana.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




