
Dunia perfileman Bollywood kehilangan seorang lagi tokoh besar apabila pelakon veteran, Kamini Kaushal, disahkan meninggal dunia pada usia 98 tahun di kediamannya di Mumbai, malam Khamis lalu. Mendiang dilaporkan menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi kesihatan berkaitan usia.
Kamini, yang dilahirkan sebagai Uma Kashyap pada 24 Februari 1927 di Lahore, merupakan antara pelakon wanita awal yang mewarnai zaman kegemilangan sinema Hindi sejak era 1940-an.
Beliau memulakan langkah besar dalam industri melalui filem Neecha Nagar (1946), karya yang meraih anugerah Palme d’Or di Festival Filem Cannes.
Sepanjang lebih tujuh dekad pembabitannya, beliau membintangi ratusan karya penting dan pernah bergandingan dengan nama-nama besar seperti Dilip Kumar, Raj Kapoor, Dev Anand, serta barisan pelakon baharu pada era moden termasuk Shah Rukh Khan dan Aamir Khan.
Keupayaannya menyesuaikan diri dengan perubahan arus perfileman menjadikan beliau antara figura paling dihormati di Bollywood dan menjadi rujukan. Walaupun kemuncaknya sebagai heroin berlangsung sekitar tahun 1940-an hingga 1960-an, Kamini kekal aktif dengan memilih watak-watak sokongan berkualiti dalam dekad seterusnya.
Beliau dilihat terus bekerja sehingga usia lanjut, termasuk kemunculannya dalam filem terkenal seperti Chennai Express (2013) dan Kabir Singh (2019). Kali terakhir beliau muncul dalam filem adalah menerusi karya Laal Singh Chaddha yang disiarkan pada 2022.
Pemergian ikon ini turut mendapat perhatian meluas dalam kalangan penggiat seni India. Beberapa pelakon generasi baharu menzahirkan penghormatan mereka, menyifatkan mendiang sebagai “tiang sejarah” dan antara wanita yang membuka jalan kepada peranan lebih besar untuk pelakon perempuan dalam sinema Hindi.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi TikTok, Instagram, Facebook & Telegram Media Hiburan