Dunia hiburan Korea Selatan dikejutkan dengan pemergian pelakon wanita berbakat, Kang Seo-ha yang disahkan meninggal dunia pada Sabtu, 13 Julai akibat kanser perut tahap empat.

Menurut kenyataan yang dikongsi ahli keluarganya, mendiang menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 1.30 petang waktu tempatan setelah sekian lama bertarung dengan penyakit tersebut secara senyap tanpa diketahui umum mahupun rakan-rakan seindustri.

Kang Seo-ha memulakan kerjaya lakonannya menerusi muzik video kumpulan Brave Guys berjudul Getting Farther Away pada tahun 2012 sebelum menempa nama dalam beberapa siri drama popular seperti Schoolgirl Detectives, Assembly, First Love Again, The Flower in Prison, Heart Surgeons dan The First Responders.

Merupakan lulusan Korea National University of Arts dalam bidang lakonan, beliau sering dipuji atas kemampuan membawakan watak-watak mencabar dengan penuh penghayatan dan karisma tersendiri.

Ads

Pelakon Korea Selatan, Kang Seo-ha Meninggal Dunia Pada Usia 31 Tahun

Biarpun menghidap penyakit kritikal, mendiang tetap meneruskan penggambaran filem terbarunya Mangnaein (In The Net) yang turut dibintangi Kim Seon-ho dan Park Gyu-young. Difahamkan, penggambaran telah selesai dan filem tersebut akan menjadi naskhah terakhirnya.

Upacara pengebumian akan berlangsung pada 16 Julai di Hospital St. Mary, Seoul, sebelum abu jenazah dibawa ke tanah perkuburan keluarga di Haman, wilayah Gyeongnam.

Ads

Adik perempuan mendiang turut meluahkan kesedihan melalui satu hantaran di media sosial dengan kata-kata yang meruntun jiwa.

“Walaupun menanggung kesakitan yang dahsyat… kakak tetap risaukan orang sekeliling… sudah berbulan-bulan tak boleh makan, tapi masih mahu belanja saya makan… kakak saya, malaikat yang pergi terlalu awal,” tulisnya.

Ads

Pemergian Kang Seo-ha merupakan kehilangan besar buat industri seni Korea yang menyaksikan komitmen luar biasa beliau terhadap dunia lakonan. Watak-watak yang pernah dibawakannya kini menjadi kenangan yang akan terus hidup dalam hati para peminat.

++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

 

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI