
Pelakon veteran Hollywood, Daniel Stern, yang terkenal menerusi watak Marv dalam filem komedi ikonik Home Alone, kini berdepan pertuduhan undang-undang selepas didakwa atas kesalahan cuba mendapatkan khidmat pelacur di California, Amerika Syarikat.
Menurut Pejabat Pendakwa Daerah Ventura County, Stern, 68, menerima notis saman daripada polis pada 10 Disember lalu susulan satu insiden yang berlaku di sebuah hotel di Camarillo, selatan California.
Kes itu kini telah difailkan secara rasmi dan Stern dijadualkan untuk pendengaran pertama di mahkamah pada 13 Januari 2026 bagi mendengar pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Di bawah undang-undang California, kesalahan cuba mendapatkan khidmat pelacur diklasifikasikan sebagai kesalahan kecil , yang membawa hukuman maksimum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga AS$1,000 (sekitar RM4,700) jika disabit bersalah.
BACA JUGA: Macaulay Culkin Dedah Sudah Lebih 30 Tahun Tak Hubungi Bapa – “Dia Layak Diperlakukan Begitu…”
Setakat ini, menurut laporan TMZ, Stern mahupun wakilnya belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung pertuduhan berkenaan.
Insiden itu menarik perhatian ramai memandangkan ia berlaku pada musim cuti hujung tahun, ketika filem Home Alone kembali menjadi antara tontonan paling popular di televisyen dan platform penstriman.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Stern dilaporkan menjalani kehidupan lebih tenang di Ventura County, jauh daripada dunia glamor Hollywood, dengan memberi tumpuan kepada bidang seni sebagai pemahat dan pengusaha projek kreatif.
Sekadar info, Stern mula menceburi dunia hiburan sejak tahun 1979. Filem pertama lakonannya ialah Breaking Away.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan