
Pelakon dan bintang K-pop terkenal Korea Selatan, Cha Eun Woo, kini berdepan siasatan pihak berkuasa cukai negara itu susulan dakwaan terlibat dalam pengelakan cukai membabitkan jumlah mencecah 20 bilion won(kira-kira RM54 juta).
Dakwaan berkenaan mencetuskan perhatian meluas memandangkan status beliau sebagai antara selebriti paling berpengaruh di Korea Selatan ketika ini.
Menurut laporan media tempatan, siasatan tersebut dijalankan oleh National Tax Service (NTS) Korea Selatan hasil satu audit khas yang dilakukan sebelum Cha Eun Woo menjalani khidmat ketenteraan wajib.
Audit berkenaan mendapati wujud kemungkinan pendapatan besar pelakon itu disalurkan melalui sebuah syarikat agensi individu yang didakwa tidak menjalankan operasi sebenar.
Difahamkan, syarikat berkenaan didaftarkan atas nama ibu Cha Eun Woo dan disyaki digunakan sebagai entiti perantara bagi mengurangkan jumlah cukai pendapatan individu yang perlu dibayar, memandangkan kadar cukai korporat adalah lebih rendah.

Pihak NTS mendakwa syarikat tersebut tidak menyediakan perkhidmatan sebenar selari dengan industri hiburan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kesahihan struktur kewangan yang digunakan.
Selain Cha Eun Woo, syarikat pengurusannya, Fantagio, turut dilaporkan dikenakan tuntutan cukai tambahan berjumlah kira-kira 8.2 bilion won (kira-kira RM22 juta) susulan pengurusan invois berkaitan syarikat yang sama.
Bagaimanapun, pihak Fantagio dalam satu kenyataan menegaskan bahawa dakwaan tersebut masih belum dimuktamadkan dan akan diperjelaskan melalui saluran perundangan yang sewajarnya.
Fantagio turut memaklumkan bahawa Cha Eun Woo dan wakilnya memberi kerjasama penuh kepada siasatan yang dijalankan serta komited untuk memenuhi segala kewajipan cukai sebagai warganegara Korea Selatan.
Setakat ini, tiada pertuduhan jenayah rasmi difailkan terhadap pelakon itu, dan siasatan masih berada pada peringkat pentadbiran.
Untuk rekod, Cha Eun Woo yang kini berusia 29 tahun merupakan di antara bintang muda Korea Selatan yang berjaya dalam dunia seni. Beliau dilaporkan memiliki harta kekayaan keseluruhan benilai RM240 juta.
Antara drama dan filem lakonannya seperti The First Ride, My Brilliant Life, Wonderful World dan A Good Day To Be A Dog.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




