
Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri berpendapat harga beg tangan yang dijual jurusolek dan pempengaruh media sosial, Mua Bellaz dianggap berpatutan dan tidak wajar dipertikaikan.
Menurut Aliff atau nama sebenarnya, Aliff Syukri Kamarzaman, 39, setiap individu mempunyai hak untuk menentukan harga produk masing-masing selagi tidak menyalahi undang-undang dan pasaran.
“Semua orang berhak berniaga, Mua Bellaz juga merupakan kawan saya. Dalam era moden ini, meletakkan harga sesuatu produk bukan satu kesalahan.
“Harga yang diletakkan bergantung kepada jumlah produk. Macam saya, sekali ambil barang boleh mencecah RM30 juta. Jadi perkara ini sangat subjektif,” ujarnya.
Aliff berkata demikian ketikan ditemui pada sesi penggambaran bersama Izara Aishah dan Kartina Aziz di Wisma Dherbs, Damansara Perdana pada Selasa.
Mengulas lanjut, Aliff menjelaskan dia melihat sendiri cara Mua Bellaz berniaga dalam siaran langsung dan menyifatkan produk yang dijual sangat berkualiti.
“Saya lihat Mua menjual beg secara live, beg dia cantik dan lengkap dengan kotak. Dengan kuantiti yang tidak banyak, harga yang diletakkan sangat berpatutan. Pada saya, harga beg Mua Bellaz tidak mahal,” katanya lagi.
Tambahnya, persepsi mahal atau murah bergantung kepada kemampuan dan sudut pandang masing-masing.
“Beg itu mungkin mahal untuk segelintir orang, tetapi untuk orang lain mungkin tidak. Jadi kita tidak boleh samakan kemampuan semua orang,” jelas Aliff lagi.

Jangan Kecam, Sokong Peniaga Tempatan
Dalam pada itu, bapa enam anak itu turut meminta orang ramai agar tidak mudah mengecam peniaga tempatan, sebaliknya memberikan sokongan.
“Kepada kalian di luar sana, jangan cepat mengecam. Kita sepatutnya menyokong orang Melayu berniaga kerana di Malaysia ini, orang Melayu yang benar-benar berjaya dalam perniagaan tidak ramai.
“Pada saya, Mua Bellaz seorang yang hebat kerana mampu menjual beg dalam pasaran yang sangat kompetitif, sedangkan ramai juga orang lain menjual produk yang sama,” katanya.
Sebelum ini, MUA Bellaz meluahkan rasa kecewa di media sosial selepas menjadi sasaran kecaman susulan pelancaran produk beg tangan terbaharunya.
Menerusi perkongsian di Instagram, Bellaz mengakui sedih membaca komen negatif yang diterima dan memohon maaf sekiranya produk tersebut tidak dapat memenuhi kehendak semua pihak.
Bagaimanapun, Bellaz menegaskan dia tidak pernah memaksa orang ramai membeli produknya dan meminta mereka mendahulukan keperluan masing-masing.
Bellaz turut memohon maaf sekiranya harga tersebut dianggap mahal, namun menjelaskan produk berkenaan tidak boleh dijual dengan harga lebih rendah berikutan kos pengeluaran yang tinggi.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




