Pelawak dan penyampai radio, Issey mendedahkan isterinya ketika ini berada dalam keadaan yang baik meskipun usia kandungannya kini telah mencecah lebih empat bulan.
Jelas Issey atau nama sebenarnya Fazlisham Mat Hussin, buat masa ini, isterinya itu tidak mengalami sebarang alahan cuma dia dikatakan hilang selera untuk makan menu berasaskan ayam.
Katanya lagi, sebagai suami, dia akan melayan apa sahaja permintaan isterinya itu lebih-lebih lagi ketika sedang hamil.
“Alhamdulillah isteri saya sihat je ketika ini. Usia kandungannya dah masuk empat bulan lebih.
“Buat masa sekarang, isteri saya tiada mengidam apa-apa cuma sekarang ini dia tak nak makan ayam. Saya pun pelik. Nak dekat dua bulan tiada ayam dekat rumah.
“Saya sendiri tak tahu kenapa dia macam tu. Sekarang dia lebih suka makan ikan atau daging. Seafood pun boleh cuma ayam je dia tak lalu.
“Jadi, kalau saya nak makan ayam, saya akan makan di luar. Tapi saya tak kisah semua tu. Orang mengandung ni kita layan je apa kehendak mereka,” katanya kepada MH.
Penyampai radio Suria FM itu berkata sedemikian sewaktu ditemui di Konsert Digital Jelajah Suria baru-baru ini.
Dalam pada itu, Issey turut memaklumkan, sewaktu dia mengetahui isterinya sedang hamil, dia berasa sangat seronok meskipun sebelum ini dia mempunyai tiga orang anak tiri.
“Bila dapat tahu isteri saya mengandung, saya seronok sangat-sangat sebab sebelum ni Allah dah hantar amanah dekat saya untuk jaga tiga anak yatim. Walaupun anak tiri, saya dah anggap mereka seperti anak saya sendiri.
“Saya jaga elok semua. Bila dikurniakan rezeki seperti ini, bertambah-tambah seronok saya.
“Tiga beradik ni pun seronok menanti kelahiran adik baru yang akan datang ni,’ jelanya lagi.
Sementara itu, Issey turut menjelaskan dia tidak meletakkan harapan yang tinggi mengenai soal jantina anak kerana dia lebih selesa untuk menyerahkan segalanya di tangan Allah S.W.T.
“Kalau tanya saya, sebolehnya saya nak baby girl. Tapi saya tak kisah dan saya serahkan semuanya kepada Allah. Saya reda apa-apa sahaja.
“Lelaki atau perempuan tak penting, yang penting anak itu selamat dan sihat. Kalau tanya saya secara peribadi, saya nak baby girl.
“Sebab sekarang saya ada seorang anak perempuan, sekurang-kurangnya dia ada kawan. Dua abang dan dua adik,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Issey dan isterinya, Noor Aimi Mohamed Jamel telah pun mendirikan rumah tangga pada tanggal 22 Disember 2019 di Kota Bahru, Kelantan.
Sebelum berkahwin dengan Issey, Aimi merupakan seorang ibu tunggal anak tiga hasil perkongsian hidup bersama arwah suami.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI