
Dikecam kerana dikatakan berkelakuan kurang sopan di sebuah program televisyen baru-baru ini, usahawan sensasi Liana Rosli atau lebih dikenali sebagai Kak KM, menjelaskan tindakannya itu adalah atas permintaan pihak produksi.
Malah baginya, apa yang dilakukan hanyalah atas dasar komitmen kerja semata-mata dan tiada niat untuk mengguris hati mana-mana pihak.

“Itu adalah permintaan daripada pihak stesen televisyen. Bila orang menjual, kita membeli. Tak perlu risau tentang apa yang saya lakukan. Itu semua hanyalah urusan kerja atau konten semata.
“Saya tiada niat nak mengguris hati atau menarik perhatian mana-mana pihak. Itu adalah trademark saya.
“Bila pihak TV minta saya berkelakuan sebegitu, apa salahnya? Bukannya saya bogel pun,” katanya kepada MH.
Anak kepada pelakon senior Normah Damanhuri itu juga tidak kisah jika ada yang beranggapan dia seolah-olah dipergunakan stesen TV demi menaikkan rating.

“Seperti semua tahu, saya tidak menumpang populariti orang lain tapi orang lain yang menumpang populariti Kak KM.
“Kalau ada yang kata pihak televisyen mempergunakan saya, tak mengapa. Pada saya, itu adalah situasi ‘menang-menang’.
“Saya ini bukanlah seorang artis. Masih ramai yang tak kenal saya. Jadi, bila saya diberikan platform di televisyen, saya sangat bersyukur. Orang lain tak dapat peluang seperti ini.
“Kalau nak masuk tv pun, mereka kena bayar. Saya pula tak perlu bayar. Mereka yang jemput saya,” ujarnya lagi.
Tidak Terjejas Dengan Kritikan
Malah baginya juga, kata-kata negatif tidak akan sesekali mematahkan semangatnya untuk terus berjuang dalam dunia perniagaan.
“Saya tak peduli apa orang nak kata. Rezeki saya tak pernah putus. Yang tak suka saya mungkin dua atau tiga orang sahaja. Ada berjuta lagi yang suka saya.
“Tengoklah jumlah tontonan video saya di media sosial, hampir semuanya mencecah jutaan penonton. Selagi ada permintaan, itu bermakna kita masih diterima,” kongsinya.
Dalam masa sama, dia menasihatkan orang ramai agar tidak cepat menilai seseorang hanya berdasarkan penampilan luaran.
“Setiap hari, saya sentiasa berdoa meminta Allah jauhkan daripada hal-hal yang tidak baik. Kita sendiri pun kena jadi orang baik.
“Mungkin anda nampak luaran saya seperti ini tapi anda tak tahu apa yang saya buat sehingga saya berjaya sampai ke tahap ini.
“Kalau tak tahu, diam sahaja. Jaga sahaja keluarga sendiri. Sibuk tengok hal orang lain, keluarga sendiri yang terabai,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




