
Pelakon dan pelawak, Zulin Aziz kekal dengan pendiriannya untuk tidak berkongsi dan mengulas lanjut mengenai punca perceraiannya bersama bekas suami, Farhan Norzaini.
Hormati Semua Pihak
Menurut Zulin, keputusan tersebut dibuat bagi menghormati keluarga kedua-dua belah pihak dan menjaga aib masing-masing.

“Saya dan bekas suami berpisah secara baik. Hubungan kami juga masih baik. Begitu juga dengan ahli keluarga. Sebab itulah saya memilih untuk tidak berkongsi apa-apa.
“Lagipun, kita masih di bulan Ramadan. Saya nak menjaga silaturrahim diantara kami. Jadi, kami memilih untuk tidak membuka aib mana-mana pihak.
“Saya tidak mahu sebarang kenyataan yang diberikan nanti membuatkan hubungan kami tak okay pula. Saya juga perlu menghormati pihak di sana dan keluarga saya sendiri.
“Kami sudah berbincang secara baik-baik dan kami memilih untuk mengunci mulut,” katanya kepada MH.
Zulin berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media program raya Astro yang berlangsung di Pavilion Hotel, Kuala Lumpur pada Khamis.
Dalam masa sama, pelakon drama From Saga With Love ini turut menafikan dakwaan yang mengatakan dirinya sudah bercerai buat kali kedua bersama bekas suami.

“Orang luar mungkin boleh kata, mudahnya artis nak bercerai. Macam membeli baju sahaja. Tapi mereka tidak duduk di kaki kita dan tidak tahu apa yang terjadi.
“Malah, saya juga merasakan tiada keperluan untuk menjelaskan apa-apa. Biarlah mereka nak cakap apapun. Apa yang saya belajar daripada perceraian ini, saya selesa dengan keputusan yang saya buat.
“Bila melihat orang lain bercerai dan kisah mereka tersebar merata, saya jadikan itu sebagai iktibar. Alhamdulillah saya lebih tenang dengan pendirian saya,” kongsinya lagi.
Sementara itu, Zulin memaklumkan dirinya kini perlu fokus dengan pekerjaan dan enggan terlalu larut di dalam perasaan sedih.

“Saya sedang berada di fasa pemulihan pelahan-lahan. Saya cuba jalani hidup secara normal dan bergelak ketawa. Saya tak suka larut dalam emosi.
“Saya pula kerja kena melawak. Saya tak nak emosi mengganggu. Kalau saya nak bersedih atau menangis, biarlah di rumah sahaja. Biarlah orang lain nampak yang indah-indah sahaja.
“Ketika di dalam iddah, saya bekerja di Korea. Saya minta izin daripada bekas suami untuk pergi bekerja dan memulihkan diri saya,” akhirinya.
Terdahulu, Zulin dilaporkan sudah bercerai dengan bekas Farhan pada 18 Disember tahun lalu.
Zulin dan Farhan bernikah pada 20 Februari 2022, bagaimanapun mereka tidak dikurniakan cahaya mata.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




