
Pelakon dan penerbit eksekutif filem Hayya 3: Gaza, Oki Setiana Dewi, mengakui bukan mudah bagi sesebuah produksi untuk menghasilkan karya yang lantang memperjuangkan isu kemanusiaan dan menyingkap realiti sebenar di bumi Palestin.
Menurut Oki, meskipun filem seperti ini tidak menjanjikan keuntungan besar seperti genre popular lain, mereka tetap merasa bertanggungjawab untuk memberikan ilmu dan kesedaran kepada penonton.
“Bagi kami yang bekerja di dalam dunia filem, kami membuat filem ini sebagai satu bentuk kepedulian kami terhadap Palestin. Tidak mudah untuk membuat filem tentang bumi G*za.
“Mungkin disebabkan itu, tidak ramai orang yang berani untuk membikin filem bergenre seperti ini.
“Kalau ia mudah dan boleh menjana keuntungan besar, mungkin semua orang akan berlumba-lumba untuk menghasilkan filem ini seperti mana filem-filem seram.
“Bagi kami, untuk memproduksikan sebuah filem, ia bukan hanya sekadar mengejar keuntungan, ini adalah salah satu cara kita menyebarkan ilmu dan kesedaran.
“Masalah di G*za ini tidak akan pernah selesai.
“Selama dua tahun ini, mungkin ada yang terlupa kerana ia tertutup dengan berita-berita lain. Saya harap filem ini akan diingat sepanjang masa,” katanya kepada MH.
Oki berkata demikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Hayya 3: Gaza, baru-baru ini.

Berjuang Dengan Jiwa & Ikhlas
Pada masa sama, Oki tidak menafikan bukan mudah untuk meyakinkan para pelakon menerima tawaran membintangi filem ini.
“Tidak semua pelakon mahu membintangi filem Hayya 3: Gaza ini. Jika seseorang pelakon itu sudah terlibat di dalam filem ini, itu bermakna posisi dan pendirian mereka sudah jelas.
“Jadi, ia agak menyulitkan untuk seorang figura awam. Jika mereka sudah tentukan posisi mereka untuk menyokong G*za, mereka perlu bersedia untuk hilang banyak pekerjaan.
“Jadi, saya sangat hargai rakan-rakan yang menyokong filem ini. Malah, ada juga yang muncul sebagai cameo.
“Bila mereka muncul dalam filem ini dan semua orang tahu mereka di pihak mana, mereka sudah bersedia untuk hilang pekerjaan,” kongsinya lagi.
Sebagai pendakwah selebriti, Oki tidak dapat menyembunyikan rasa terharunya apabila ramai pihak sanggup menyumbangkan tenaga dan karya demi menjayakan produksi ini.
“Selepas menyempurnakan filem ini, saya sangat terharu kerana ramai rakan-rakan yang sudi bersedekah dan menderma. Bersedekah itu tak semestinya dalam bentuk wang ringgit.
“Malah, ada juga yang bersedekah dalam bentuk karya seperti Melly Goeslow. Dalam filem ini, beliau bersedekah dari segi penciptaan lagu.
“Mungkin untuk filem-filem yang lain, kita harus mengeluarkan biaya yang sangat besar untuk seorang Melly Goeslaw. Kata Melly, jika untuk Gaza, semuanya percuma.
“Malah, barisan pelakon juga sanggup memberikan tenaga mereka secara sukarela untuk menyiapkan filem ini. 40% daripada keuntungan filem ini, akan kita sedekahkan buat rakyat Palestin,” akhirinya.
Filem arahaan Jastis Arimba ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 30 Oktober depan.

Ia menampilkan barisan pelakon berbakat seperti Amna Shahab, Azamy Syauqi, Cut Syifa dan Adhin Abdul Halim, bersama Oki sendiri yang turut membawa mesej besar bahawa seni juga mampu menjadi suara perjuangan.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




