
Pelakon popular, Nora Danish memilih untuk tidak memberikan sebarang pengesahan atau penafian berhubung dakwaan dirinya kini menjalin hubungan rapat dengan perunding kewangan yang dikenali sebagai Mickey Ayo.
Nora, 43, pendapat terlalu awal untuk dia mengulas hal tersebut dan tidak mahu terburu-buru mendedahkan perkara peribadi kepada umum.
“Untuk saya, kita tidak mahu komen lanjut mengenai bab itu sebab saya fikir masih terlalu awal.
“Insya-Allah, kalau ada apa-apa yang baik dan perlu dikongsi, kami akan beritahu perkara itu,” katanya lagi.
Nora bagaimanana pun meluahkan rasa terharu dengan sokongan berterusan daripada para peminat yang sentiasa mendoakan yang terbaik buat dirinya.
“Sejak dahulu lagi, saya sentiasa bersyukur bila ada peminat yang selalu mendoakan yang terbaik.
“Mereka bersama saya sejak dahulu sehinggalah sekarang. Terima kasih sebab sentiasa ada di sisi saya.
“Semoga doa yang baik-baik itu berbalik kepada semua juga,” katanya lagi.
Nora berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada program Amber Allstar Picklebash di King’s Court, TTDI, pada Khamis.
Mengulas tentang penglibatannya dalam acara tersebut, Nora memberitahu ia merupakan antara sukan pertama yang benar-benar diceburi demi menjaga kesihatan seiring peningkatan usia.
“Saya rasa ini adalah jenis sukan pertama yang saya ceburi. Saya kini hanya nak amalkan gaya hidup sihat memandangkan usia pun sudah meningkat.
“Jadi sukan ini satu permulaan yang baik untuk saya kekal aktif,” kata pelakon filem
Polis Evo 3 itu lagi.Dalam pada itu, Mickey turut memberi reaksi mengenai namanya yang semakin menjadi perhatian ramai sejak dikaitkan dengan Nora.
“Saya rasa kurang selesa, tak biasa sebab ini bukanlah bidang saya (industri seni). Tapi itulah, kita kawan kan. Selebriti… itulah (menjadi perhatian),” katanya ringkas.
September lalu, nama Nora menjadi perhatian ramai selepas dia memuat naik foto seorang lelaki mengenakan kopiah putih, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai status hubungan mereka.
Selain itu, tular juga sebuah kad jemputan dengan huruf M dan N serta tarikh 8 September 2025, yang menguatkan lagi desas-desus mereka mungkin akan berkahwin tidak lama lagi.
Bagaimanapun, Nora tampil menafikan khabar angin tersebut dan menegaskan tiada perancangan seperti yang disangka oleh ramai pihak.
Untuk rekod, Nora pernah mendirikan rumah tangga dengan Nedim Nazri pada 30 Mac 2017, namun berpisah pada 19 Jun 2024.
Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Mohamed Neqayl yang kini berusia 7 tahun.
Sebelum itu, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli (Jejai) pada 2006 dan bercerai pada 2008.
Hasil perkongsian hidup tersebut, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Putra Rayqal, yang kini berusia 17 tahun.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini