
Suasana perbicaraan kes membabitkan selebriti sensasi Indonesia, Nikita Mirzani, bertukar tegang apabila tertuduh bertindak meluahkan kemarahan dan enggan kembali ke rumah tahanan selepas prosiding di Mahkamah Negeri Jakarta Selatan, semalam.
Kes tersebut melibatkan dakwaan pemerasan dan pengubahan wang haram (TPPU) terhadap Nikita dengan pengadu kes dikenali sebagai Dr. Reza Gladys.
Pada penghujung sesi prosiding, Nikita tiba-tiba bangkit dari tempat duduknya dan membantah keputusan hakim yang meminta beliau kembali ke tahanan.
“Saya tak mahu balik ke rutan untuk kes jenayah bodoh macam ni. Dah cukup lima bulan saya berdiam diri,” tegasnya lantang dari kerusi tertuduh.
Ketua Majlis Hakim, Khairul Soleh sebelum itu telah memaklumkan bahawa perbicaraan akan disambung pada Khamis depan, 7 Ogos 2025, dengan agenda mendengar keterangan saksi pendakwaan.
Namun belum sempat hakim menamatkan prosiding, Nikita mencelah dan mendesak agar rakaman audio dalam pemacu USB yang diserahkan olehnya dimainkan di hadapan mahkamah. Menurutnya, rakaman itu mengandungi perbualan antara pihak pendakwa raya dengan Reza Gladys yang dikatakan boleh mempengaruhi kes.
“Izin, Yang Arif. Saya tak nak balik ke tahanan. Saya minta rakaman itu diperdengarkan di hadapan mahkamah,” katanya dengan suara yang semakin tinggi.
Apabila permintaan itu tidak diendahkan, Nikita mengugut akan memainkan sendiri audio tersebut menggunakan telefon bimbit miliknya. “Kalau tak, saya akan mainkan sendiri dari telefon bimbit saya,” katanya lagi.
BACA JUGA: Nikita Mirzani Dan Pembantu Peribadi Ditahan Polis, Terkait Kes Peras Ugut Dan Pengubahan Wang Haram
Ketegangan semakin memuncak apabila seorang pegawai wanita cuba membawa Nikita keluar dari ruang sidang namun dihalang olehnya. Nikita kemudian meninggalkan kerusi tertuduh dan menuju ke tempat duduk peguam bela sambil memegang telefon bimbit dalam keadaan beremosi.
Seorang pendakwa raya wanita turut menghampiri Nikita dan cuba memakaikan baju tahanan berwarna merah kepadanya. Namun, Nikita menolak dengan keras dan beberapa kali menepis tangan pendakwa tersebut.
“Jangan sentuh saya! Saya dah dikriminalkan selama lima bulan. Masa saya dah terbuang begitu sahaja. Saya tak dapat jaga anak-anak saya. Saya minta rakaman itu dimainkan!” jerit Nikita dengan penuh emosi.
Pendakwa menjelaskan bahawa prosiding telah ditangguhkan dan tertuduh akan diberi ruang untuk mengemukakan bukti pada masa yang ditetapkan mengikut lunas undang-undang, namun Nikita tetap berkeras.
Akhirnya, pasukan keselamatan terpaksa masuk campur dan membawa Nikita keluar dari ruang sidang secara paksa. Difahamkan, beliau akhirnya memakai sendiri rompi tahanan yang sebelum itu ditolak, sebelum dihantar semula ke Rumah Tahanan Pondok Bambu.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
Sumber: Kompas