Hiburan

Nicole Kidman & Keith Urban Sah Bercerai Selepas 19 Tahun Bersama

Share

Perkahwinan pelakon tersohor Hollywood, Nicole Kidman dan penyanyi muzik country terkenal, Keith Urban, akhirnya berakhir secara rasmi selepas hampir dua dekad membina rumah tangga bersama.

Mahkamah di Nashville, Tennessee mengesahkan perceraian pasangan itu pada 6 Januari lalu, sekali gus menoktahkan ikatan perkahwinan yang terjalin sejak 2006.

Difahamkan, permohonan perceraian tersebut difailkan atas alasan perbezaan yang tidak dapat didamaikan selepas 19 tahun hidup bersama sebagai suami isteri.

Tiada Tuntutan Nafkah

Menurut dokumen mahkamah, kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan perceraian itu secara baik tanpa sebarang tuntutan nafkah pasangan mahupun nafkah anak.

Mereka juga sepakat menanggung kos guaman masing-masing tanpa pertikaian lanjut, sekali gus menggambarkan proses perpisahan yang matang dan berhemah.

BACA JUGA: 19 Tahun Bersama, Rumah Tangga Pasangan Hollywood Goyah

Dalam aspek penjagaan anak, Nicole diberikan tanggungjawab sebagai penjaga utama kepada dua anak perempuan mereka, Sunday Rose, 17, dan Faith Margaret, 15.

Sementara itu, Keith pula diberikan hak lawatan serta tempoh masa tertentu bersama anak-anak mengikut perancangan keibubapaan yang telah dipersetujui bersama.

Jaga Privasi Keluarga

Sepanjang proses perceraian tersebut, pasangan berkenaan memilih untuk menjaga privasi keluarga dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan terbuka kepada umum sekaligus meletakkan kebajikan anak-anak sebagai keutamaan.

Untuk rekod, Nicole dan Keith mula berkenalan pada 2005 sebelum melangsungkan perkahwinan setahun kemudian dalam sebuah majlis tertutup di Sydney, Australia.

Sepanjang hampir dua dekad bersama, pasangan ini sering dianggap antara ikon rumah tangga stabil dalam dunia hiburan antarabangsa.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

Published by
MFA