
Mengambil keputusan untuk berhijab pada Oktober tahun lalu, pelakon Amyza Aznan menyifatkan segala yang berlaku sebagai perancangan Allah yang sangat indah, selain mengakui hidayah boleh hadir pada bila-bila masa.
Menurut Amyza, ia hadir secara spontan apabila hatinya terdetik untuk mula berhijab tanpa sebarang paksaan atau dorongan daripada sesiapa.

Hidayah Datang Tanpa Dirancang
“Ya, saya memutuskan untuk berhijab sejak bulan Oktober tahun lalu. Saya memilih untuk berhijab tanpa dorongan sesiapa.
“Bila saya mula berhijab, baru saya sedar, jika Allah berkehendak, sekelip mata sahaja ia akan terjadi. Saya lalui sendiri pengalaman itu.
“Hari sebelumnya, saya tak terfikir pun esoknya saya akan pakai tudung. Segalanya terjadi begitu sahaja,” katanya kepada MH.
Amyza berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media kempen Ramadan dan Raya TV3, Jwanjih Drama! di GSC Suria KLCC, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Dalam perkembangan kerjaya, Amyza bakal muncul menerusi drama terbaharu berjudul Anugerah Tanpa Cahaya bersama barisan pelakon seperti Azhan Rani, Puteri Balqis dan Zairi Aziz.

Drama tersebut dijadualkan untuk ditayangkan di aplikasi Tonton bermula 16 Mac ini.
“Saya Nak Nampak Mahal”
Mengulas lanjut, pelakon ini turut menafikan dakwaan kononnya keputusan untuk berhijab dibuat susulan dugaan dan ujian hidup yang pernah dilaluinya sebelum ini.

“Ada yang kata saya memilih untuk berhijab disebabkan dugaan dan ujian yang menimpa saya sebelum ini. Namun, itu tidak benar.
“Yang membuatkan saya nak berhijab adalah kerana saya ingin diri saya nampak mahal.
“Anak-anak juga nak saya nampak mahal. Saya tak nak berkongsi sangat sebab-sebab saya berhijab. Saya takut jika banyak berkongsi nanti, akan timbul banyak perbalahan pula.
“Pada zaman ini, semua orang bebas memberikan pendapat. Jadi, saya memutuskan untuk tidak berkongsi sebab utama saya memutuskan untuk berhijab,” kongsinya lagi.
Pelakon drama Teratak Kasih Salina itu turut tidak dapat menahan sebak apabila berkongsi perasaan selepas membuat keputusan tersebut.

“Saya tak tahu bagaimana nak gambarkan perasaan itu. Saya dapat rasakan yang Allah sayang saya. Saya jadi tak terkata,” katanya sambil menitiskan air mata.
Dalam masa sama, Amyza meluahkan rasa syukur apabila kerjaya lakonannya tidak terjejas walaupun tampil dengan imej berhijab.

“Setelah saya berhijab, alhamdulillah tawaran kerja itu sentiasa ada. Bercakap soal batasan pula, ketika saya berlakon sebelum berhijab lagi, saya tak banyak berlakon adegan bersentuhan yang keterlaluan.
“Jika berlakon bersama pelakon lelaki yang memerlukan sentuhan, saya akan pegang di bahagian lengan (berlapik). Melainkan ada adegan-adegan kasar. Itu memang tuntukan kerja.
“Selepas saya berhijab, pelakon-pelakon lain juga mudah berikan kerjasama. Mereka juga tahu menjaga batas,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




