Penyanyi muda bervokal lantang, Danial Chuer berkongsi berita gembira apabila beliau dipilih sebagai Graduan Terbaik Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan bakal menerima Anugerah Cemerlang Alumni UiTM pada konvokesyen ke-103 universiti itu kelak.
Dalam hantaran di Instagram Story tersebut, Danial yang memuat naik surat yang diterimanya menyatakan rasa syukur kerana segala usaha kerasnya sepanjang pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Seni Muzik Komposisi terbalas.
“Alhamdulillah, Syukur, Ya Allah, terkedu sekejap apabila dapat e-mel dari UiTM menyatakan saya terpilih untuk menerima Anugerah Cemerlang Alumni UiTM. Salah satu anugerah tertinggi di peringkat UiTM untuk konvokesyen ijazah sarjana muda saya yang akan datang.
“Ini adalah untuk ibu dan dan semua yang bersama saya sepanjang pahit manis perjalanan ini. Saya tahu arwah ayah pasti akan berasa gembira jika dia ada untuk menyaksikan pencapaian ini,” tulisnya.
Baru sahaja kehilangan ayahnya pada November tahun lalu, apabila dihubungi, pemilik nama penuh Danial Chuer bin Hamasiah @ Samsudin ini mendedikasikan kejayaan kepada arwah ayahnya dan ibu yang selama ini menyokong minatnya dalam dunia seni tanpa jemu.
Ads
“Ayah saya tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi seperti kami adik-beradik. Namun, kesemua empat orang adik-beradik berjaya menamatkan pengajian hingga ke universiti hasil usaha dan pengorbanan beliau bersama ibu.
“Cuma, apa yang membuatkan saya terkilan adalah ayah tiada untuk menyaksikan semua ini. Namun saya dapat bayangkan betapa gembiranya beliau jika masih ada bersama,” kongsinya kepada Media Hiburan.
Apa yang menjadikan kisah Danial lebih menyentuh hati adalah bagaimana arwah ayahnya percaya dan meletakkan muzik sebagai satu bentuk medium yang mampu membina jati diri seseorang.
“Sepanjang masa, beliau menyedari bahawa saya mempunyai potensi untuk serius dalam bidang ini. Maka, apabila saya menyatakan hasrat untuk menyambung pengajian dalam jurusan muzik, beliau terus memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi.
Ads
“Ayah saya sentiasa menyarankan agar saya belajar hingga ke peringkat PhD, memperoleh gelaran Doktor sekaligus menjadi pensyarah dan mencapai tahap seperti Dato’ Ramli MS serta Ahmad Dhani,” tambahnya lagi.
Danial bersama arwah bapanya dan ibu ketika kovokesyen pengajian peringkat diploma.
Selain itu Danial turut berkongsi bahawa bapanya percaya bahawa dunia muzik sangat luas dan sentiasa melabur dari segi wang dan usaha untuk memastikan dirinya mampu belajar dengan baik.
“Pandangan ayah terhadap muzik jauh ke hadapan. Beliau sering berkata bahawa muzik tidak akan pernah mati kerana ia sentiasa berevolusi setiap tahun. Jadi sebagai seorang pemuzik, perlu tahu cara menyesuaikan diri agar tidak ketinggalan
Ads
“Ayah tidak pernah berkira apabila melibatkan perbelanjaan untuk minat saya dalam muzik. Malah, ruang tamu di rumah pun diubah menjadi studio mini agar saya memiliki ruang peribadi untuk berlatih dan menghasilkan karya muzik sendiri. Saya tahu beliau sentiasa bangga dengan saya,” ujar jejaka berusia 24 tahun ini lagi.
Imbas kembali, antara kejayaan besar penyanyi muda ini adalah apabila beliau berjaya menggondol gelaran Naib Juara Big Stage musim keempat yang dianjurkan Astro. Kini, setelah tamat pengajian, Danial bergelar pendidik dalam bidang vokal dan piano di The Music Academy Center.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Dunia hiburan Pakistan dikejutkan dengan kematian tragis pelakon dan model terkenal, Humaira Asghar Ali yang ditemui dalam keadaan reput di sebuah pangsapuri sewa di Karachi pada 8 Julai lalu.
Kejadian itu terbongkar selepas pemilik kediaman menghubungi pihak berkuasa untuk mengeluarkan notis pengosongan akibat kegagalan membayar sewa selama beberapa bulan.
Hasil siasatan awal mendapati pelakon berusia 32 tahun itu dipercayai telah meninggal dunia sejak Oktober 2024 berdasarkan bukti digital seperti makanan tamat tempoh, ketiadaan penggunaan telefon bimbit serta keadaan fizikal jenazah yang sudah mereput.
Polis memaklumkan tiada unsur jenayah ditemui kerana semua pintu dan tingkap rumah berkunci dari dalam dan tiada sebarang tanda pencerobohan.
Humaira sebelum ini pernah membintangi beberapa drama popular termasuk Just Married, Chal Dil Mere, dan Guru, selain menyertai program realiti Tamasha Ghar serta membintangi filem seperti Jalaibee dan Love Vaccine.
Apa yang lebih menyayat hati, laporan awal menyatakan keluarga Humaira pada mulanya enggan menuntut jenazah dengan alasan hubungan kekeluargaan telah terputus.
Bapanya, Dr Asghar Ali dilaporkan berkata kepada pihak berkuasa: “Kami tidak ada hubungan lagi dengannya, buat sahaja apa yang kamu mahu dengan jenazah itu.”
Namun begitu, keadaan berubah apabila abangnya, Naveed Asghar, tampil menuntut jenazah selepas dua hari.
Naveed menafikan wujud sebarang perbalahan keluarga, sebaliknya menjelaskan bahawa adiknya itu sudah lama tidak berhubung dan tidak pernah berkongsi maklumat tempat tinggal sejak setahun lalu.
Dalam kenyataan kepada media, Naveed turut meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut termasuk menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta mengambil keterangan pemilik rumah dan pihak pengurusan bangunan.
Kerajaan wilayah Sindh sebelum itu menawarkan diri untuk menguruskan pengebumian sekiranya tiada waris tampil menuntut jenazah. Bagaimanapun, urusan pengebumian kini diserahkan semula kepada keluarga selepas Naveed melengkapkan proses tuntutan.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Pelakon popular Korea Selatan, Lee Si-young mengumumkan bahawa beliau kini sedang hamil anak kedua meskipun telah berpisah dengan suaminya, usahawan restoran, Cho Seong-hyun, awal tahun ini.
Menerusi satu hantaran di Instagram pada 8 Julai lalu, pelakon berusia 43 tahun itu berkongsi berita mengejutkan tersebut, beberapa bulan selepas mengesahkan penceraian mereka yang difailkan di Mahkamah Keluarga Seoul pada Mac.
Lee dan Cho berkahwin pada September 2017 dan hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jung-yoon yang dilahirkan pada Januari 2018.
Menurut Lee, kehamilan kali ini adalah hasil rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) yang dilakukan ketika masih bergelar isteri.
Bagaimanapun, embrio yang telah disenyawakan tidak terus dimasukkan ke rahim dan hanya dipertimbangkan selepas proses perceraian dimuktamadkan kerana tempoh penyimpanan embrio hampir tamat.
“Saya memang mengimpikan untuk mempunyai anak lagi. Saya tidak mahu mengulangi penyesalan yang saya rasai ketika mengandungkan Jung-yoon. Saya tidak sanggup membuang embrio itu apabila masanya hampir tamat,” katanya yang turut mengakui keputusan tersebut dibuat tanpa persetujuan bekas suaminya.
Tambahnya, kehadiran anak pertamanya memberi kekuatan untuk melalui perkahwinan yang sukar, selain menjadi sumber harapan dan inspirasi dalam hidupnya.
“Saya tahu banyak cabaran yang menanti. Saya pernah bimbang dengan pelbagai kemungkinan, tetapi saya percaya pilihan ini ada maknanya,” ujarnya.
Sementara itu, Cho ketika dihubungi media Korea Selatan, Dispatch, mengakui pada awalnya tidak bersetuju dengan keputusan Lee namun berjanji akan memainkan peranannya sebagai bapa.
“Kami masih berkomunikasi demi anak pertama kami. Kami akan berbincang dan menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam menyambut dan membesarkan anak kedua ini,” katanya.
Dalam perkembangan terkini, hantaran yang dibuat Lee Si-young telah dipadamkan setelah mendapat kecaman hebat apabila fakta bahawa proses implantasi in-vitro dilakukan tanpa persetujuan bekas suaminya menjadi perdebatan umum melibatkan isu undang-undang dan bioetika.
Pakar-pakar turut membangkitkan persoalan mengenai hak pemilikan embrio, prosedur pengiktirafan anak serta tanggungjawab penjagaan dan hak jagaan selepas kelahiran.
Sekadar info, Lee Si-young mula mencipta nama dalam industri hiburan pada 2008 dan melonjak popular menerusi drama Boys Over Flowers serta rancangan realiti We Got Married pada tahun berikutnya.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Penyanyi pop alternatif terkenal Britain, Charli XCX, selamat mendirikan rumah tangga dengan tunangnya yang juga pemain dram kumpulan The 1975, George Daniel dalam satu majlis pernikahan sederhana tetapi penuh gaya di Dewan Bandaraya Hackney, London, semalam.
Majlis yang diadakan secara tertutup itu hanya dihadiri oleh keluarga terdekat dan rakan rapat, termasuk ahli kumpulan The 1975 kecuali vokalis utamanya, Matty Healy.
Meskipun perkahwinan itu diadakan sederhana, pernikahan tersebut tetap mencuri perhatian media serta peminat antarabangsa apabila gambar pasangan berkenaan tular di laman sosial.
Charli atau nama sebenarnya Charlotte Aitchison, 32, tampil mempesona dalam gaun pendek putih berinspirasikan rekaan ikonik Vivienne Westwood, lengkap dengan korset, layah dan cermin mata hitam, satu penampilan yang cukup sinonim dengan identiti muzik dan stail ‘brat girl summer’ yang dibawanya.
Sementara itu, George kelihatan segak mengenakan sut klasik serba hitam. Pasangan tersebut dilihat tersenyum lebar sewaktu keluar dari dewan pernikahan sambil berpegangan tangan dan mengucup mesra di hadapan jurugambar serta peminat yang hadir.
Menurut laporan media antarabangsa, pasangan itu turut merancang untuk mengadakan majlis resepsi kedua dalam skala lebih besar di Sicily, Itali dalam masa terdekat sebagai meraikan hari bahagia bersama rakan selebriti dan peminat setia mereka.
Charli dan George mula menjalin hubungan rapat sejak 2021 selepas bekerjasama menerusi lagu Spinning, sebelum mengesahkan hubungan mereka secara terbuka pada 2022.
Pasangan sama cantik dan sama padan ini mengikat tali pertunangan pada November tahun lalu, dengan Charli berkongsi gambar cincin pertunangannya menerusi media sosial.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Pelakon terkenal siri Sex and the City, Kim Cattrall, selamat bergelar isteri kepada pasangannya, Russell Thomas, dalam satu majlis perkahwinan serba sederhana yang berlangsung...