
Selepas mengumumkan hubungan mereka telah berakhir, kemunculan semula pasangan pelakon Niezam Zaidi dan Fify Azmy mencuri tumpuan ramai apabila mereka dilihat bermain pickleball bersama dalam sebuah acara, baru-baru ini.
Ketika ditemui, Niezam memilih untuk tidak mengulas lanjut dan menegaskan kehadiran mereka hanyalah sebagai memenuhi undangan daripada sebuah jenama tempatan.
“Saya tidak akan lagi memberikan kenyataan lanjut berkaitan isu ini. Apa yang dilihat itu hanyalah hubungan biasa sesama manusia.
“Tidak salah rasanya untuk kami sama-sama bermain pickleball dan beriadah.
“Akitiviti tersebut juga adalah di atas jemputan program tertutup yang dianjurkan oleh pengasas sebuah jenama tempatan.
“Fify juga sangat aktif dan handal bermain pickleball. Jadi, saya ajaklah dia turut serta sekali,” katanya.
Apabila ditanya sama ada hubungan mereka kini kembali terjalin semula, Niezam ada jawapannya sendiri.
“Saya tiada komen untuk hal itu. Doakan sahaja dan insha-Allah kami akan kekal baik,” jelasnya.
Serik Bersuara Soal Cinta, Serah Pada Takdir
Mengulas lanjut mengenai pandangan peribadinya terhadap jodoh dan cinta, Niezam akui dia kini lebih berhati-hati dan enggan terlalu terbuka setelah melalui beberapa pengalaman pahit.
“Mungkin penyakit ain juga merupakan salah satu puncanya. Sesiapa yang pernah mengikuti kehidupan peribadi saya terutamanya dalam soal cinta, saya sudah terlalu banyak bersuara.
“Bila ia tidak terjadi seperti yang dirancang, sakitnya makan dalam. Kini, saya serahkan segalanya kepada yang di atas,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, pelakon ini juga tidak ambil pusing jika ada pihak yang bersikap negatif terhadap kehidupannya kini.
“Saya pun tak bercakap lebih. Jika ada orang yang dengki, saya tak boleh nak buat apa.
“Saya hanya doakan semoga mereka baik-baik sahaja dan dipermudahkan segala urusan,” katanya lagi.
Untuk rekod, Niezam dan Fify sebelum ini tidak menafikan hubungan istimewa yang mereka jalinkan selama setahun telah berakhir, namun kedua-duanya reda dan percaya jodoh antara mereka tidak panjang.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI