
Pelakon, Adam Corrie memohon orang ramai untuk tidak memberikan tekanan berlebihan terhadap teman wanita pelakon Ben Amir iaitu Maiya, yang baru sahaja memeluk agama Islam.
Menurut Adam, sebagai mualaf, dia juga pernah melalui pengalaman sama apabila masyarakat dilihat lebih cenderung mengkritik setiap tindakan saudara baharu, berbanding memberikan bimbingan dan sokongan.
“Awal-awal saya masuk Islam dulu, beginilah tekanannya. Ramai lebih suka mengkritik dari membimbing.
“Padahal mualaf sedang bertatih, sedang mencari kekuatan,” tulisnya.
Kerisauan tersebut dikongsikan pelakon filem KL Gangster itu menerusi sebuah hantaran di aplikasi Thread.
Dalam masa sama, Adam turut menyeru netizen untuk terus memberikan dorongan kepada para mualaf agar dapat memperkukuhkan pemahaman mengenai Islam tanpa tekanan yang menakutkan.
“Kalau benar kita sayang agama, kita sepatutnya memudahkan bukan menakutkan.
“Beri ruang, beri masa, beri contoh yang baik.
Hidayah itu milik Allah, bukan milik manusia yang menilai,” ujarnya.
Baru-baru ini, Maiya yang dipercayai merupakan kekasih kepada Ben Amir, meluahkan rasa terkilan selepas didakwa diserang netizen di media sosial berhubung penampilannya yang tidak menutup aurat.
Menerusi hantaran di media sosial, Maiya atau nama Islamnya, Liana Alana menjelaskan netizen mula mengharapkan dirinya menjadi Muslimah sejati walaupun baru sahaja bergelar mualaf.
Untuk rekod, pada 10 November lalu, Liana ditemani Ben atau nama sebenarnya Muhammad Amir Sabaruddin hadir ke pejabat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Kuala Lumpur bagi melafazkan dua kalimah syahadah.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
Sumber & Kredit Foto: Thread & Instagram Adam Corie & Maiya