
Pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad, tampil mengulas mengenai video tular yang memperlihatkan anak sulungnya, Naira Mikayla, kelihatan mesra dengan seorang remaja lelaki yang dikatakan teman rapatnya.
Menurut Nabil, dia sendiri tidak mengetahui tentang video tersebut dan menegaskan bahawa Mikayla, yang baru berusia 13 tahun, masih terlalu muda untuk terlibat dalam hubungan cinta.

“Saya ada dengar daripada orang lain mengenai perkara ini tapi belum pernah tengok video itu lagi. Siap ada yang kata tahniah sebab bakal dapat menantu.
“Saya pun pelik juga. Namun, Zira pernah beritahu, Mika memang ada berkawan dengan seseorang.
“Untuk saya, dia baru berumur 13 tahun dan belum tiba masanya lagi (bercinta). Kalau ada pun, mungkin cinta monyet,” katanya.
Nabil berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di program MeleTOP yang berlangsung di Astro Bukit Jalil pada Selasa.

Cabaran Didik Anak & Prinsip Tegas
Mengulas lanjut, Nabil turut berkongsi cabaran menjadi ibu bapa pada era moden, di mana anak-anak mudah terpengaruh dan beremosi.

“Inilah konflik yang dilalui oleh bapa-bapa di zaman ini. Kalau cakap nanti merajuk. Kalau tak cakap, lain pula jadinya.
“Zaman sekarang agak berbeza. Kalau dahulu, garang macam mana pun mak ayah kita, kita tetap balik rumah. Dengan anak-anak sekarang, bila kita cakap sikit, takut tak balik rumah pula nanti.
“Anak-anak saya hanya pegang telefon pada hari Sabtu dan Ahad sahaja. Dari Isnin hingga Jumaat, kalau apa-apa jadi, susah pula nak jejak.
“Tak mengapalah nanti saya akan bercakap dengan Mika tentang hal ini,” ujarnya.
Nabil menegaskan dia dan isteri, Nazirah Ayub, sentiasa memantau pergaulan anak-anak mereka sebagai langkah berjaga-jaga.

“Saya kenal dengan semua kawan-kawan anak. Cuma saya tak bagi mereka tidur di rumah kawan. Kalau kawan-kawan mereka nak tidur rumah saya, okay sahaja.
“Kalau nak keluar dengan kawan-kawan pun belum masanya lagi. Buat masa ini, ibunya akan hantar dan ambil. Saya masih mengekalkan konsep arwah ayah.
“Saya umur 18 tahun baru boleh keluar sendiri. Kakak dan adik saya pula arwah ayah jaga sehingga mereka berkahwin. Barulah boleh hidup sendiri,” katanya lagi.
Malah, pengacara MeleTOP itu memohon doa orang ramai agar anak-anaknya membesar menjadi insan yang baik.

“Apapun doakan untuk anak saya agar jadi wanita solehan dan menjadi ikutan kepada adik-adiknya,” akhirinya.
Sekadar informasi, Nabil mendirikan rumah tangga bersama Nazirah pada 30 September 2011 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Naira Mikayla, Layla Medyna, dan Mishall Imani.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




