
Penyanyi dan pelakon Bella Astillah, kini tampil menyemarakkan suasana Aidilfitri tahun ini menerusi pelancaran single Raya terbaharu berjudul Ya Raya.
Lagu ini ditulis oleh Rudeen, dikompos oleh Rudeen dan Exactesy, serta diterbitkan oleh Exactesy sementara susunan muziknya pula menggabungkan elemen moden dan tradisional.
Menurut Bella Astillah, hubungan emosinya dengan lagu ini terjalin sebaik sahaja beliau mendengar demo buat kali pertama.
“Bila pertama kali dengar demo Ya Raya saya terus rasa dia sangat positif dan menggambarkan suasana Raya yang saya sendiri rasa.
“Setiap tahun kita beraya dalam suasana berbeza, kadang di kampung, kadang di bandar. Lagu ni rasa lebih ringan, penuh kesyukuran dan nak meraikan masa bersama keluarga dan kawan-kawan.
“Ada elemen ceria yang buat orang rasa nak senyum bila dengar. Memang kenadengan mood Raya,” katanya.
Walaupun lagu ini kedengaran ceria dan penuh tenaga, proses rakamannya hadir dengan cabaran tersendiri buat Bella.
“Cabaran utama masa rakaman adalah nak kekalkan tenaga dan keceriaan dalam vokal tanpa kedengaran dibuat-buat, sebab masa recording Bella sebenarnya demam dan kurang sihat.
“Tapi Bella paling enjoy part chorus sebab sangat catchy. Dalam studio pun semua orang ikut nyanyi sekali,” katanya lagi.
Keistimewaan lagu ini turut terserlah menerusi keseimbangan antara bunyi klasik Raya dan sentuhan kontemporari yang segar.
“Saya rasa Ya Raya ada gabungan elemen moden dan tradisional. Masih ada rasa Raya yang kita kenal tapi dengan susunan muzik yang lebih fresh dan sesuai dengan pendengar sekarang.
Lagu ni lebih kepada vibe meraikan momen kecil bersama orang tersayang, bukan hanya suasana besar perayaan,” katanya.
Dalam pada itu, kolaborasi bersama Fipper dilihan mampu memperluaskan mesej lagu ini daripada sekadar karya muzik kepada representasi gaya hidup sempena musim perayaan.
“Kolaborasi dengan Fipper sangat menyeronokkan kerana ia melambangkan keselesaan dan gaya santai Raya.
“Bila muzik dan gaya hidup digabungkan melalui kempen ini, saya rasa sangat menarik dan dekat dengan kehidupan seharian peminat, especially masa Raya,” katanya lagi.
Kerjasama ini dilakukan kerana lagu tersebut mampu membawa emosi, nostalgia dan kegembiraan Aidilfitri, sekali gus menjadikan muzik sebagai medium yang menghubungkan jenama dengan pengguna secara lebih bermakna.
Malah Fipper juga melihat muzik sebagai bahasa universal yang mampu mencipta kenangan serta membina hubungan emosi, khususnya dalam kalangan generasi muda yang menjadikan muzik sebahagian daripada identiti dan gaya hidup mereka.
Sementara itu, Bella Astillah turut berharap agar Ya Raya akan menjadi lagu yang menemani detik bermakna setiap kali Aidilfitri menjelma.
“Mesej paling simple adalah untuk hargai masa bersama orang yang kita sayang.
“Raya datang setahun sekali, jadi gunakan masa ni untuk memaafkan, bersyukur dan cipta kenangan indah.
“Harapan saya semoga Ya Raya boleh jadi lagu yang menemani momen bahagia, bukan sahaja tahun ini tapi tahun-tahun akan datang,” katanya.
Ya Raya sudah boleh didengarkan di semua platform penstriman digital sejak 13 Februari lalu.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.