
Pelakon Muaz Zabir enggan melayan provokasi segelintir pihak yang didakwa memuat naik semula mesej-mesej lamanya bersama aktres dan penyanyi, Bella Astillah, di media sosial.
Menurut Muaz, perkara yang telah berlalu tidak wajar dikenang, apatah lagi apabila masing-masing kini sudah mempunyai haluan kehidupan sendiri.
“Saya tak nak perasan pun hal-hal sebegitu. Kalau ada yang tag di media sosial pun, saya rasa perkara yang lepas, biarlah lepas.
“Pihak di sana pun sudah ada haluan dan pasangan masing-masing. Biarlah saya membawa diri dahulu,” katanya kepada MH.
Pelakon filem Seoul Cinta itu berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media program anjuran TV3, RR2026: Jwanjih Kenyang! di Bungalow 289 KL, baru-baru ini.
Dalam masa sama, Muaz turut menyifatkan hal tersebut seperti sengaja dicetus untuk memburukkan dan menjatuhkan reputasinya.
“Kadang-kala, manusia ini ada yang punyai sifat hasat dengki dan iri hati. Mungkin mereka lihat saya ketika ini terlampau tenang dan tiada sebarang konflik atau masalah.
“Pada mereka, saya ini bukanlah orang yang baik sangat. Mereka sudah tiada point lain. Jadi, mungkin dibangkitkanlah isu sebegitu,” katanya lagi.
Bagaimanapun jelas Muaz, ketika ini fokusnya lebih terarah untuk menampilkan kualiti lakonan terbaik sebagai tanda membalas kepercayaan yang diberikan kepadanya.
“Orang yang bersifat dengki ini memang ada. Saya bukanlah nak kata industri kita ini kotor tapi dalam apa juga pekerjaan pasti ada politiknya.
“Saya faham situasi itu. Namun, saya akan sentiasa berusaha sehabis baik untuk menjayakan apa sahaja komitmen yang diberikan kepada saya.
“Jika pihak produksi berikan kepercayaan kepada saya untuk sesebuah projek, saya akan pastikan ia diselesaikan secara baik dan tidak menimbulkan sebarang masalah. Saya tak boleh nak memenangi hati semua orang,” kongsinya lagi.
Sementara itu, Muaz turut memaklumkan, dia juga selesa melihat setiap perkara yang berlaku daripada sudut pandang positif.
“Apa yang boleh saya katakan, terima kasih kerana sentiasa ingat kepada saya. Bila ada orang yang suka jentik-jetik kita, itu bermakna mereka sayangkan saya dan mahu melihat saya ke hadapan.
“Jika awak ada niat yang tak baik dan iri hati, lebih baik hentikanlah. Ia menghitamkan hati sendiri. Ia langsung tidak menjatuhkan saya. Saya boleh sahaja harunginya, Insya-Allah,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini