
Persembahan istimewa penyanyi Indonesia, Afgan menerusi Afgan Retrospektif Showcase terus mencuri perhatian apabila jualan tiket menerima sambutan luar biasa daripada peminat di Malaysia.
Menurut wakil penganjur, Renjana Idea iaitu Azlina, pihaknya menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas sokongan padu yang diberikan sejak tiket mula dijual pada 1 Oktober lalu.
“Sambutan yang kami terima sangat positif dan pantas. Ia menunjukkan betapa besarnya pengaruh Afgan serta keterujaan peminat untuk menyaksikan persembahan istimewa ini.
“Kami amat berterima kasih atas sokongan yang tidak pernah putus,” kata wakil Renjana Idea.
Showcase yang dijadualkan berlangsung pada 5 Disember 2025 di Zepp Kuala Lumpur itu diadakan bersempena pelancaran album terbaharu Afgan berjudul Retrospektif.
Makna “Retrospektif” & Pengalaman Persembahan
Menurut Afgan, judul itu dipilih kerana ia mencerminkan perjalanan hidup dan kerjayanya sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.
“Makna Retrospektif bagi saya adalah momen untuk melihat kembali apa yang sudah terjadi di masa lalu, menjadikannya bahan pelajaran untuk terus berkembang sebagai manusia yang lebih baik.
“Album baharu ini benar-benar mewakili idea itu. Saya melihat kembali perjalanan hidup saya beberapa bulan terakhir, belajar daripada peningkatan yang terjadi, dan akhirnya lahirlah album ini,” katanya.
Album Retrospektif juga membawa nilai sentimental buat penyanyi berusia 36 tahun ini kerana ia merupakan album penuh berbahasa Indonesia pertama yang dilancarkannya selepas tujuh tahun.
“Album ini ibaratnya saya kembali ke genre yang telah membesarkan nama saya, iaitu Indonesian Pop. Sudah lama saya tidak menghasilkan karya seperti ini. Jadi, Retrospektif terasa sangat tepat sebagai judul dan sebagai sebuah titik balik dalam kerjaya saya,” jelasnya.
Mengulas mengenai pemilihan Malaysia sebagai lokasi persembahan, Afgan berkata Kuala Lumpur sudah menjadi rumah keduanya.
“Selain di Indonesia, Malaysia memang sangat istimewa buat saya. Sokongan peminat di sini luar biasa dan saya ingin mereka turut merasai perjalanan baharu saya melalui album ini.
“Itu sebabnya saya mahu mengadakan showcase di Malaysia. Saya sangat teruja untuk berkongsi lagu-lagu baharu secara langsung buat pertama kali di sini,” ujarnya lagi.
Afgan turut menjelaskan, Zepp Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi kerana sesuai dengan konsep muzik yang ingin diketengahkan.
“Kali ini saya ingin suasana yang lebih kasual dan intim. Muzik dalam album ini lebih organik dan ‘raw’, jadi saya rasa Zepp adalah tempat yang sangat tepat untuk menghadirkan pengalaman muzik itu secara jujur dan dekat dengan peminat,” katanya.
Lebih menarik, selain mempersembahkan lagu-lagu baharu daripada album Retrospektif, Afgan juga akan mendendangkan rangkaian lagu popularnya yang pernah menjadi siulan ramai seperti Ku Dengannya Kau Dengan Dia, Terima Kasih Cinta, Jodoh Pasti Bertemu dan banyak lagi.

Persembahan Sarat Emosi
Menurut Azlina, showcase kali ini akan menjadi malam yang sarat emosi dan penuh nostalgia buat peminat yang membesar dengan lagu-lagu Afgan.
“Selain lagu dalam album Retrospektif, Afgan akan membawa penonton menyelusuri perjalanan seninya melalui lagu-lagu ikonik yang pernah menjadi siulan ramai.
“Kami mahu showcase ini menjadi sebuah malam penuh makna dan memori buat semua peminatnya,” tambah wakil Renjana Idea.
Afgan turut menyatakan bahawa setiap persembahan akan disusun dengan susunan muzik asal agar peminat di Malaysia dapat menikmati pengalaman pertama mendengarnya secara langsung.
“Insya-Allah saya akan memberikan persembahan terbaik. Saya mahu setiap lagu ini memberi makna dan memori tersendiri kepada peminat di Malaysia kerana ia adalah kali pertama mereka mendengar karya ini secara langsung.
“Saya sangat menghargai bahawa perjalanan muzik saya telah menjadi sebahagian daripada kisah hidup peminat di sini, sama ada di saat bahagia atau saat sedih.
“Apa yang paling berharga adalah ketika lagu-lagu saya mampu memberi kekuatan untuk peminat menghadapi kehidupan dengan penuh optimis dan positif. Itu adalah penghargaan terbesar buat saya,” katanya.
Tiket ‘Afgan Retrospektif Showcase’ dijual dengan harga RM1,398 (VIP Box), RM798 (Premium Seat), RM698 (Normal Seat), RM398 (VIP Standing) dan RM358 (General Standing).
Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, peminat boleh melayari laman sosial rasmi Renjana Idea atau mengikuti perkembangan terkini melalui laman media sosial rasmi penganjur.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




