
Penyanyi dan penulis lagu Indonesia, Allan Andersn tampil dengan single terbaharu berjudul ‘Mau But Malu’, sebuah lagu pop berenergi dengan sentuhan city pop moden yang ringan, ‘groovy’ dan mudah melekat di telinga.
Single ciptaan Allan ini dilancarkan di semua platform penstriman digital bermula 12 Februari lalu.
Menerusi karya ini, Allan menampilkan sisi muzik yang semakin matang, namun kekal dengan identiti pop yang bercerita mengenai perasaan dan emosi yang dekat dengan pengalaman hidup ramai.
‘Mau But Malu’ yang diambil daripada frasa mahu tapi malu membawa naratif ringkas tetapi mengena.
Lagu ini berkisar mengenai confession, friendzone & dilema suka dalam diam iaitu satu situasi hubungan yang pernah dilalui oleh kebanyakan orang, iaitu ‘suka dalam diam’.
Ia mengisahkan tentang seseorang yang sentiasa ada di sisi, menjadi tempat bercerita dan sistem sokongan ketika kawan patah hati, namun dalam masa sama terperangkap dengan perasaan sendiri.
Dalam liriknya, Allan menggambarkan momen-momen yang comel dan relatable.
Walaupun temanya berkisar tentang friendzone dan confession, nuansa city pop yang segar menjadikan ‘Mau But Malu’ terasa ringan dan catchy, sekali gus sesuai dijadikan lagu tema buat mereka yang sedang berada dalam situasi sedemikian.
Menurut Allan, dia mahu ‘Mau But Malu’ menjadi lagu yang menyeronokkan untuk didengar, sambil membuat orang tersenyum kerana kisahnya terlalu dekat dengan realiti.
“Saya memang nak lagu ini bunyi fun dan groovy sebab situasi sebegini selalu terjadi dalam hidup kita. Kadang-kadang kita gelak sendiri, kadang-kadang kita cringe sendiri. Tapi itulah yang buat cerita ini dekat di hati,” katanya.
Allan turut menyifatkan lagu ini sebagai mesej ‘cakap terus’ yang disampaikan dengan cara santai dan tidak berat.
“Bagi saya, lagu ini bukan nak buat orang down. Ia seperti lagu tema untuk orang yang nak bagi ‘hint’, bayangan apa yang dia sedang rasakan. Pada akhirnya, akan tinggal dua pilihan sahaja, sama ada cakap iya atau tidak. Kalau tidak, penat juga menunggu,” ujarnya lagi.

Strategi Promosi & Perkembangan Kerjaya
Berasal dari Tahuna, sebuah pulau kecil di Indonesia, Allan dikenali menerusi penulisan lagu yang jujur, dekat di hati dan sinematik.
Menerusi ‘Mau But Malu’, Allan meneruskan pendekatan tersebut namun membalutnya dengan susunan muzik yang lebih segar dan moden, menjadikan lagu ini sesuai untuk pendengar yang gemarkan pop catchy dengan elemen city pop kontemporari.
Sebagai sebahagian daripada promosi, Allan turut membawa ‘Mau But Malu’ ke pentas menerusi showcase intim di Kuala Lumpur pada 6 Februari lalu serta Johor Bahru pada 14 Februari depan.
Persembahan tersebut turut dirakam dan diterbitkan sebagai kandungan digital, sekali gus memperkukuh keterlibatan peminat serta memperluaskan jangkauan single berkenaan di Malaysia.
Sebelum ini, Allan meraih perhatian menerusi lagu Rindu yang berjaya menembusi carta Spotify Viral 50 Indonesia dan Malaysia, selain tersenarai dalam Top 10 Newcomers Billboard Indonesia selama dua minggu berturut-turut.
Album debutnya, Dear AA yang dilancarkan tahun lalu turut mengukuhkan namanya sebagai antara bakat baharu yang konsisten membina pengaruh dalam landskap pop Asia Tenggara.
Allan juga merancang untuk melancarkan beberapa single lagi sepanjang 2026 sebagai langkah menuju projek EP dan album seterusnya.
Dengan melodi yang mudah melekat, groove city pop yang segar dan lirik yang ‘kena’ dengan orang ramai, ‘Mau But Malu’ dijangka menjadi lagu pilihan buat mereka yang sedang mencari keberanian dengan cara yang fun.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




