Categories: Hiburan

Komposer Terkenal Ross Ariffin Meninggal Dunia

Share

Dunia seni tanah air kehilangan seorang lagi tokoh apabila komposer dan pemuzik terkenal, Ross Ariffin, yang dilaporkan meninggal dunia petang semalam pada usia 63 tahun di Hospital Kajang, Selangor.

Berita pemergian Allahyarham disampaikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, yang menerima makluman daripada pihak Rumah Seri Kenangan, tempat komposer tersebut menetap sejak November tahun lalu.

“Saya sangat berdukacita menerima khabar pemergian seorang seniman tanah air, Ross Ariffin, petang tadi,” kata Fahmi yang berkongsi perkara itu menerusi ciapan di platform X pada malam 2 Ogos 2025.

“Uncle Ross merupakan komposer yang telah banyak menyumbang kepada industri muzik tempatan,” tambahnya.

Fahmi yang pernah beberapa kali menemui Allahyarham turut mengakui mengagumi ketabahannya. “Beliau berdepan dengan kehidupan yang mencabar, namun tetap tabah meneruskan perjalanan sebagai anak seni,” katanya lagi.

Ross Ariffin atau nama penuhnya Roslan Ariffin Jamil mula mencipta nama pada era 1990-an sebagai komposer dan penyusun muzik prolifik, menghasilkan pelbagai lagu popular untuk penyanyi ternama seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Fauziah Latiff, Ning Baizura dan Jaclyn Victor.

Antara lagu popular ciptaan allahyarham ialah Dia nyanyian Fauziah Latiff, Kemaafan Dendam Yang Teindah nyanyian Aishah serta Kau dan Aku nyanyian Ning Baizura yang memenangi Anugerah Juara Lagu bagi kategori Pop Rock pada 1995.

Sentuhan muziknya terkenal dengan gabungan melodi komersial yang indah bersama susunan orkestra yang memukau.

Selain berkarya di tanah air, Allahyarham difahamkan pernah berkhidmat bersama Orkestra di Kota London, sebuah pengalaman yang membentuk identiti muziknya dan memberi warna berbeza kepada ciptaannya.

++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

Published by
MFA