Categories: Berita Hiburan

“Kita Tak Boleh Terus Banding…,” – Ramli MS Terhibur Persembahan Minggu Pertama GV12, Harap Peserta Tak Naik Lemak!

Share

Maestro muzik yang juga juri Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12), Datuk Ramli MS atau lebih mesra disapa Tok Ram, meluahkan rasa puas hati serta terhibur dengan kualiti persembahan para peserta pada minggu pertama.

Namun begitu, beliau menegaskan agak mustahil untuk membandingkan setiap peserta kerana masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri dalam pelbagai aspek nyanyian.

Malah, persiangan juga baru sahaja bermula dan masing-masing pastinya mempunyai strategi tersendiri.

“Jika melihat kepada kesemua 13 peserta yang bertanding, mereka ada kelebihan yang berbeza-beza. Setiap perbezaan itu boleh jadi sedap kalau mereka tahu memanfaatkannya.

“Saya terhibur dengan persembahan pada malam ini. Puas bila dapat mendengar suara daripada penyanyi-penyanyi yang bagus.

“Namun, kita tak boleh nak terus membanding-banding kemampuan para peserta. Sebagai contoh, bagaimana kita nak bandingkan Rahmat Ekamatra dengan penyanyi-penyanyi bergenre lain?

“Tak boleh kerana setiap penyanyi mempunyai genre berbeza,” katanya ketika ditemui selepas konsert minggu pertama GV12 di Auditorium MBSA, Shah Alam, malam tadi.

Ramli pada masa sama turut berpendapat, GV merupakan platform penting yang memberi ‘nyawa kedua’ kepada para penyanyi lama untuk kembali menyerlah.

“GV ini platform di mana kita berikan ‘nyawa’ kedua kepada kerjaya seseorang penyanyi.

“Secara tidak langsung ia boleh menjadi sumber rezeki untuk tempoh enam bulan sehingga satu tahun ke depan. Jadi, mereka perlu bekerja keras,” ujarnya lagi.

“Kalau Dah Naik Lemak, Juri Akan Perasan”

Dalam nada tegas tetapi penuh nasihat, Tok Ram turut berpesan supaya para peserta tidak terlalu selesa dan berani keluar dari zon selesa dengan mencuba genre baharu.

“Cabaran itu memang perlu. Para peserta memang boleh memilih genre yang mereka suka atau menyanyikan lagu sendiri.

“Namun, bila kita melihat mereka seperti sudah naik lemak, kita kena tegas. Mereka juga boleh sahaja menyanyikan lagu sendiri tetapi akan ada kesannya.

“Orang lain mungkin bekerja lapan jam sehari tapi kamu hanya nak bekerja satu jam sahaja. Jadi, kami perlu pertimbangkan bahagian pemarkahan.

“Melainkan mereka menyanyikan lagu sendiri dan hasilnya ‘superb’ dan luar biasa. Kami akan terima kebijaksanaan itu,” tambahnya lagi.

Malah, Ramli turut memberi peringatan bahawa juri akan peka terhadap peserta yang kelihatan terlalu selesa sehingga ke minggu kelima.

“Kalau sampai minggu kelima pun nak kerja senang, kami pihak juri akan sedar perkara itu. Namun, kita juga akan menasihati peserta. Setiap pemilihan lagu ada kesannya,” katanya.

Seramai 13 bintang GV12 telah pun membuat persembahan dan edisi kali ini masih mengekalkan Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat sebagai juri.

GV12 berlangsung selama 12 minggu, dengan dikendalikan pasangan pengacara, Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad, bersiaran dari Auditorium MBSA, Shah Alam, setiap Ahad, jam 9 malam.

Malam tadi, Mendua dari Indonesia berjaya mengungguli carta dengan markah 69.50%, diikuti Mark Adam (67.75%) dan Nubhan (62.50%) di tempat ketiga.

Dipancarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (saluran 104), GV12 juga boleh disaksikan melalui strim secara On Demand di Astro GO dan sooka.

Program ini akan bersiaran selama 12 minggu secara langsung di Astro Ria (saluran 104) dan turut boleh ditonton menerusi Astro One serta sooka.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Aizam Manaf