Categories: Berita Hiburan

“Kita Nak Angkat Industri Ceramah Ke Tahap Lebih Tinggi,” – Neelofa & PU Riz Jawab Isu Harga ‘Mahal’ RM850

Share

Dikritik segelintir pihak kerana dikatakan mengenakan harga tinggi untuk majlis ilmu yang dianjurkan, selebriti terkenal, Neelofa menjelaskan nilai yang ditawarkan disifatkan sepadan dengan pengalaman eksklusif yang diterima para peserta.

Menurutnya, sepanjang penganjuran program itu, setakat ini tidak ada sebarang aduan diterima daripada peserta, termasuk mereka yang membeli tiket paling premium.

“Saya rasa mereka yang pernah hadir memang tahu tentang nilai yang mereka dapat. Mereka dapat hadiri program di hotel lima bintang, makanan yang sangat mewah, goodies bag yang sangat meriah dan intipati kandungan yang mereka terima.

“Apa sahaja yang kami sediakan untuk program tersebut terutamanya untuk tiket platinum (paling mahal), alhamdulillah sehingga hari ini tak pernah ada yang merungut atau mempersoalkan program ini tidak berbaloi.

“Kita juga nak adakan program agama dalam suasana yang tinggi. Bukan sekadar pergi dan pulang.

“Kami juga memberikan pengalaman dan impak emosi yang membuatkan mereka nak datang lagi,” katanya kepada MH.

Neelofa hadir bersama suaminya, pendakwah bebas PU Riz, pada sidang media program realiti terbaharu, Mualim Muda, di LMP Event Hall, Petaling Jaya, pada Rabu.

Mualim Muda bakal menampilkan PU Riz sebagai hos bersama Fakhrul UNIC, smeentara Neelofa menjadi antara juri tetap bersama Datuk Ustaz Kazim Elias dan Dr. Kamilin Jamilin.

Usaha Angkat Majlis Ilmu

Dalam pada itu, PU Riz menegaskan program tersebut adalah usaha mereka untuk menaikkan martabat majlis ilmu agar lebih dihargai dan dilihat pada tahap yang lebih tinggi.

“Saya bukan nak kata apa yang para peserta terima di program kami ini mereka tidak akan dapat di luar. Ia lebih kepada soft skill yang disampaikan.

“Kita juga gesa mereka ini menangis di atas dosa-dosa yang pernah kita buat. Suasana di program ini juga berbeza. Mungkin kita sudah terbiasa dengan ceramah-ceramah di masjid.

“Kita cuba angkat industri ceramah ini ke satu tahap yang lebih besar dan tinggi. Program ini tiada paksaan. Jika orang kata mahal, mereka boleh nilai sendiri dengan apa yang mereka dapat.

“Kita juga jemput barisan-barisan panel yang mungkin orang pun susah nak jumpa di pentas agama seperti Nora Danish, Kila Fairy dan Fauziah Gous. Kami bawakan secara eksklusif.

“Kalau konsert, beribu orang boleh bayar. Ia cara pemikiran yang sama. Jika ada pihak yang sanggup bayar untuk satu sesi yang baik, apa salahnya,” katanya.

Neelofa turut memaklumkan, mereka sedang merancang penganjuran majlis ilmu khusus untuk golongan pertengahan.

“Kita ada perancangan untuk buat program bagi golongan pertengahan. Harapnya ramai yang akan turut serta nanti. Kita juga nak jemput rakan-rakan media.

“Kami juga ada banyak lagi perkara untuk diperbaiki. Mungkin selepas ini kami lebih yakin untuk menjemput lebih ramai orang,” ujarnya.

Sebelum ini, beberapa hantaran di media sosial mempersoalkan harga majlis ilmu dianjurkan pasangan itu, dengan sebahagian pihak menyifatkan nilai sekitar RM850 sebagai kurang wajar untuk sebuah program agama.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Aizam Manaf