Categories: Hiburan

“Kita Berbesar Hati Untuk…,” – Astro Bukan Lanjutkan Acara Grand Finale TTMM Sebab Sesiapa, Keputusan Dirancang Lebih Awal

Share

Pentas Akhir Talk To My Manager (TTMM) yang berlangsung malam tadi menyaksikan satu lagi kejutan apabila pihak produksi mengumumkan malam Grand Finale akan berlangsung minggu hadapan.

Menurut Penerbit Eksekutif TTMM, Firdaus Mahadi, keputusan tersebut bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya telah dirancang lebih awal.

Malah situasi itu juga bukan kerana ketiadaan salah seorang finali iaitu Thalita yang juga anak kepada Shuib Sepahtu, yang kini sedang menjalani kuarantin akibat Influenza A.

“Keputusan untuk menambah satu lagi minggu Grand Finale sebenarnya telah dirancang lebih awal. Ia bukan keputusan yang baru dibuat malam ini kerana kita juga perlu mengikut jadual para peserta dan pengurus.

“Malah, keputusan malam ini juga bukanlah disebab ketiadaan Thalita. Seperti kita tahu, TTMM adalah sebuah program realiti dan inilah realiti yang sudah dirancang.

“Kita sebenarnya berbesar hati untuk menambah satu lagi minggu disebabkan sambutan yang menggalakkan daripada penonton.

“Ini merupakan hadiah buat mereka yang sentiasa menyokong TTMM selama ini,” katanya ketika ditemui di konsert akhir TTMM yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad.

Firdaus turut menambah, perbincangan bersama pihak Shuib akan dilakukan dalam masa terdekat bagi menentukan status Thalita di pentas akhir.

“Kita akan adakan perbincangan dengan pihak Shuib nanti. Namun, jika mengikut perancangan asal, Thalita memang akan bertanding di pentas Grand Finale kerana kita sudah menetapkan jadual mereka,” ujarnya.

Sokongan Selebriti & Reaksi Penonton

Dalam pada itu, keputusan produksi untuk melanjutkan saingan TTMM mendapat reaksi baik dalam kalangan peminat serta rakan selebriti yang memuji langkah tersebut.

Ramai melihat tindakan itu sebagai cara terbaik menghargai usaha finalis dan pengurus yang telah memberikan persembahan luar biasa sepanjang musim ini.

Firdaus juga menepis dakwaan segelintir pihak yang menganggap penambahan minggu akhir itu tidak adil buat peserta lain.

“Sebenarnya, semua pihak sudah mengetahui mengenai perancangan ini. Namun, sebagai penghargaan kepada usaha para peserta dan pengurus malam ini, pihak produksi bersetuju untuk memberikan anugerah Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik.

“Kita dapat lihat setiap peserta telah ‘all out’ dan memberikan persembahan yang terbaik pada malam ini,” katanya.

Firdaus turut menambah, elemen drama dalam TTMM bukanlah gimik kosong, sebaliknya penambah rasa yang menjadikan program itu lebih menghiburkan.

“Pada saya, tiada istilah ‘drama-drama yang tidak sepatutnya’ di dalam program ini. Segalanya masih dibuat mengikut konteks TTMM dan hiburan keluarga.

“Segala drama yang berlaku hanyalah sekadar suntikan dan penambah perasa dalam sesebuah rancangan. Kalau tiada drama, boring pula nanti,” akhirinya.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
Aizam Manaf