Categories: Berita Hiburan

Kilauan Emas 2025: Juri Puas Hati Persembahan Minggu Pertama Walau Tiada Penyingkiran, Semua ‘All Out’ & Sedia Bersaing!

Share

Program realiti terbaharu, Kilauan Emas 2025 (KE2025) membuka tirai malam tadi dengan menampilkan persembahan bertenaga daripada kesemua 12 peserta.

Walaupun masih minggu pertama, masing-masing tampil yakin tanpa rasa gugup demi memikat hati juri dan penonton.

Malam pembukaan menyaksikan Mazleen menduduki tangga pertama selepas membawakan lagu Akulah Kekasihmu nyanyian asal Francissa Peter dengan markah keseluruhan 77.50 peratus.

Menurut juri tetap KE2025, Ning Baizura, Mazleen berjaya menampilkan kawalan pernafasan yang baik selain menghayati lagu tersebut dengan penuh penghayatan.

“Saya boleh dikatakan terpesona dengan persembahan awak sebab awak bawa lagu ini dengan baik. Kawalan pernafasan yang baik, sedap sangat dengar, bagus, saya suka awak nampak sangat tenang.

“Padahal awak tengah menyanyi tau dan perasaan awak mendalami lagu ini. Bukan senang nak bawa lagu Francissa,” katanya ketika memberi komen.

Keputusan Minggu Pertama

Di tangga kedua, Zekrai memperoleh markah 75.49 peratus, diikuti Nawary yang menyampaikan lagu Hapuslah Air Matamu dengan 75.25 peratus.

Tempat keempat dan kelima pula masing-masing diduduki Zanie (72.96%) dan Ben (68.68%).

Anugerah Emas Berkilau Of The Week menjadi milik Kinar untuk minggu pertama ini.

Bagaimanapun, tiada penyingkiran dilakukan dan semua 12 peserta akan terus bersaing pada minggu seterusnya.

Berikut keputusan penuh minggu pertama;

1. Mazleen – 77.50%
2. Zekrai – 75.49%
3. Nawary – 75.25%
4. Zanie – 72.96%
5. Ben – 68.68%
6. Kinar – 68.54%
7. Vijay – 67.71%
8. Shah – 67.05%
9. Leeza – 66.41%
10. Nurul – 57.58%
11. Majid – 57.07%
12. Ezan – 47.46%

Erra Fazira Memuji

Dalam pada itu, Erra Fazira yang juga juri tetap menzahirkan keyakinan terhadap potensi para peserta.

“Berbanding dengan persembahan mereka ketika waktu sidang media tempoh hari, saya tidak nafikan ada di antara mereka yang gementar dan sebagainya.

“Tetapi pada malam tadi, kita boleh nampak masing-masing ‘all out’ dan lebih bersedia. Pentas KE2025 sudah macam ‘rumah’ mereka.

“Malah saya pula yang gementar sebab apa lagi yang mereka boleh pamerkan untuk minggu hadapan dan seterusnya,” ujarnya.

Format Pertandingan & Info Siaran

KE2025 bersiaran secara langsung dari Royal Theater Shah Alam setiap Sabtu, jam 9 malam di Astro Prima (Saluran 105).

Sistem pemarkahan ditentukan melalui 70 peratus juri profesional, 20 peratus juri awam serta 10 peratus undian penonton di rumah.

Juara musim ini bakal membawa pulang wang tunai RM30,000 beserta trofi sumbangan Astro.

Selain konsert mingguan selama lapan minggu, peminat boleh mengikuti Diari Kilauan Emas 2025 bermula 11 Ogos, setiap Isnin hingga Jumaat jam 11.30 malam, serta Kapsul Profil Peserta mulai 5 Ogos jam 3 petang.

Untuk musim ini, Elly Mazlein kembali sebagai pengacara utama, dibantu pelawak Joey Daud yang mengendalikan segmen belakang pentas dan diari.

Barisan juri pula terdiri daripada primadona Erra Fazira, pelawak Roy Azman serta juri baharu, Ning Baizura.

Turut diperkenalkan, Zarul Husin sebagai hos Spotlight yang bersiaran selepas konsert pada jam 11.30 malam di Astro Prima.

KE2025 juga boleh distrim secara fleksibel menerusi On Demand di Astro Ultra/Ulti Box, Astro GO dan aplikasi sooka.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

@mediahiburanofficial Ini persembahan yang duduki tempat pertama & kedua di Kilauan Emas 2025 semalam. Persembahan yang dekat di hati dari Mazleen dan Zekrai 👏🏼🥰 #MHnews #MediaHiburan #KilauanEmas #OtaiLebihBerbisa #Jomusha ♬ original sound – Media Hiburan
Published by
Aizam Manaf