Program realiti terbaharu, Kilauan Emas 2025 (KE2025) membuka tirai malam tadi dengan menampilkan persembahan bertenaga daripada kesemua 12 peserta.
Walaupun masih minggu pertama, masing-masing tampil yakin tanpa rasa gugup demi memikat hati juri dan penonton.
Malam pembukaan menyaksikan Mazleen menduduki tangga pertama selepas membawakan lagu Akulah Kekasihmu nyanyian asal Francissa Peter dengan markah keseluruhan 77.50 peratus.
Menurut juri tetap KE2025, Ning Baizura, Mazleen berjaya menampilkan kawalan pernafasan yang baik selain menghayati lagu tersebut dengan penuh penghayatan.
“Saya boleh dikatakan terpesona dengan persembahan awak sebab awak bawa lagu ini dengan baik. Kawalan pernafasan yang baik, sedap sangat dengar, bagus, saya suka awak nampak sangat tenang.
“Padahal awak tengah menyanyi tau dan perasaan awak mendalami lagu ini. Bukan senang nak bawa lagu Francissa,” katanya ketika memberi komen.
Keputusan Minggu Pertama
Di tangga kedua, Zekrai memperoleh markah 75.49 peratus, diikuti Nawary yang menyampaikan lagu Hapuslah Air Matamu dengan 75.25 peratus.
Ads
Tempat keempat dan kelima pula masing-masing diduduki Zanie (72.96%) dan Ben (68.68%).
Anugerah Emas Berkilau Of The Week menjadi milik Kinar untuk minggu pertama ini.
Bagaimanapun, tiada penyingkiran dilakukan dan semua 12 peserta akan terus bersaing pada minggu seterusnya.
Dalam pada itu, Erra Fazira yang juga juri tetap menzahirkan keyakinan terhadap potensi para peserta.
“Berbanding dengan persembahan mereka ketika waktu sidang media tempoh hari, saya tidak nafikan ada di antara mereka yang gementar dan sebagainya.
“Tetapi pada malam tadi, kita boleh nampak masing-masing ‘all out’ dan lebih bersedia. Pentas KE2025 sudah macam ‘rumah’ mereka.
“Malah saya pula yang gementar sebab apa lagi yang mereka boleh pamerkan untuk minggu hadapan dan seterusnya,” ujarnya.
Ads
Format Pertandingan & Info Siaran
KE2025 bersiaran secara langsung dari Royal Theater Shah Alam setiap Sabtu, jam 9 malam di Astro Prima (Saluran 105).
Sistem pemarkahan ditentukan melalui 70 peratus juri profesional, 20 peratus juri awam serta 10 peratus undian penonton di rumah.
Juara musim ini bakal membawa pulang wang tunai RM30,000 beserta trofi sumbangan Astro.
Selain konsert mingguan selama lapan minggu, peminat boleh mengikuti Diari Kilauan Emas 2025 bermula 11 Ogos, setiap Isnin hingga Jumaat jam 11.30 malam, serta Kapsul Profil Peserta mulai 5 Ogos jam 3 petang.
Untuk musim ini, Elly Mazlein kembali sebagai pengacara utama, dibantu pelawak Joey Daud yang mengendalikan segmen belakang pentas dan diari.
Barisan juri pula terdiri daripada primadona Erra Fazira, pelawak Roy Azman serta juri baharu, Ning Baizura.
Turut diperkenalkan, Zarul Husin sebagai hos Spotlight yang bersiaran selepas konsert pada jam 11.30 malam di Astro Prima.
KE2025 juga boleh distrim secara fleksibel menerusi On Demand di Astro Ultra/Ulti Box, Astro GO dan aplikasi sooka.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Penyanyi terkenal Amerika Syarikat, Katy Perry mencetuskan kontroversi selepas memfailkan tuntutan balas bernilai kira-kira AS$6 juta (RM27.7 juta) terhadap lelaki berusia 85 tahun, Carl Westcott, berhubung pertikaian pembelian sebuah rumah mewah di Santa Barbara.
Pertikaian tersebut bermula pada 2020 apabila Perry bersama bekas tunangnya, pelakon Orlando Bloom, membeli kediaman berkenaan daripada Westcott yang ketika itu baru menjalani pembedahan belakang dan berada di bawah pengaruh ubat penahan sakit.
Westcott, yang menghidap penyakit Huntington, mendakwa beliau tidak berada dalam keadaan mental yang stabil semasa menandatangani kontrak.
Bagaimanapun, pada Disember tahun lalu, mahkamah memutuskan Westcott berada dalam keadaan waras ketika urusan jual beli dilakukan.
Perry kini menuntut ganti rugi kira-kira AS$3.25 juta (RM15 juta) atas kerugian sewaan, selain AS$2.29 juta (RM10.6 juta) bagi kos pembaikan kerosakan termasuk akibat pokok tumbang dan banjir.
Anak lelaki Westcott, Chart Westcott, mengkritik tindakan Perry dengan menyifatkannya sebagai “tamak” dan “tidak berperikemanusiaan” terhadap seorang warga emas yang sedang uzur.
Orlando Bloom, yang dikatakan bertindak sebagai pengurus syarikat yang membeli rumah itu, turut menerima kritikan kerana tidak dipanggil memberikan keterangan di mahkamah.
Perbicaraan fasa kedua kes ini dijadualkan pada 21 Ogos ini bagi menentukan jumlah ganti rugi yang akan dibayar.
Kes berprofil tinggi itu turut mengundang perhatian ahli politik yang mencadangkan undang-undang baharu dikenali sebagai Protecting Elder Realty for Retirement Years Act atau Akta PERRY.
Akta tersebut bertujuan memberi tempoh bertenang 72 jam untuk transaksi hartanah melibatkan warga emas berusia 75 tahun ke atas. Walaupun begitu undang-undang ini belum diluluskan dan hanya berada pada fasa usul.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Penyanyi Nadeera Zaini mengakui dirinya sedih apabila lagu Bukan Lagi Kita gagal mara ke pencalonan akhir Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24).
Bagaimanapun, dia tetap berlapang dada selain percaya kepada rezeki.
“Saya sendiri tak tahu nak cakap macam mana. Saya sebenarnya agak sedih bila lagu Bukan Lagi Kita tidak berjaya lolos ke pencalonan akhir.
“Agak sayang sebenarnya kerana lagu ini sudah dikenali ramai. Namun, saya tetap akur jika bukan rezeki saya lagi. Saya juga tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak.
“Bila difikirkan semula, nama saya juga masih agak baharu di dalam industri ini. Mungkin saya belum layak lagi,” katanya kepada MH.
Juara Big Stage 2023 itu menegaskan dirinya tidak akan sesekali patah semangat, sebaliknya terus berusaha menghasilkan karya lebih baik pada masa depan.
“Sebagai penyanyi, kita memang ada keinginan untuk bertanding di pentas AIM. Jadi, bila lagu saya tidak tercalon, saya rasa mungkin saya belum layak.
“Mungkin juga rezeki saya belum sampai lagi. Insha-Allah, jika kalian terus mendoakan, mungkin akan ada tempat buat saya bertanding pada edisi yang akan datang,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, Nadeera turut memohon maaf kepada para peminat sekiranya ada yang turut sama kecewa dengan keputusan tersebut.
“Kepada para peminat dan penyokong saya, saya minta maaf jika saya tidak dapat memuaskan hati kalian. Saya sudah cuba sedaya upaya saya.
“Jika anda terus menyokong saya. InshaAllah kita akan berjumpa lagi pada tahun-tahun yang akan datang,” kongsinya lagi.
Sementara itu, tuah menyebelahi Nadeera apabila dia tercalon menerusi tiga kategori top 20 di Anugerah Meletop Era 2025 (AME2025).
Walaupun begitu, dia enggan meletakkan harapan terlalu tinggi dan menyerahkan segalanya kepada rezeki.
“Saya takut nak meletakkan harapan yang terlalu tinggi. Ini adalah kali pertama saya tercalon untuk anugerah ini.
“Kalau berjaya mara ke top 5 pun, saya rasa sudah cukup terbaik.
“Saya rasa bersyukur bila ada pihak yang sedar dan merasakan saya mungkin ada harapan untuk memenangi anugerah-anugerah tersebut.
“Apapun, saya tetap menyerahkan segalanya kepada rezeki,” akhirinya.
Untuk rekod, Nadeera tercalon bagi tiga kategori di AME2025 iaitu Vokal Meletop, Lagu Meletop dan Penyanyi Meletop.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Dunia hiburan Korea Selatan dikejutkan dengan berita pemergian pelakon veteran, Song Young Kyu yang dilaporkan meninggal dunia pada pagi Isnin di kediamannya di Yongin, Gyeonggi-do.
Menurut laporan media tempatan, pelakon berusia 55 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri di dalam kenderaan yang berada di kawasan parkir kompleks rumahnya sekitar pukul 8.00 pagi waktu tempatan.
Pihak polis mengesahkan tiada sebarang tanda-tanda jenayah ditemui di lokasi kejadian, namun siasatan lanjut termasuk proses bedah siasat akan dilakukan dengan persetujuan keluarga.
Song Young Kyu mula mencipta nama dalam industri hiburan menerusi lakonan berkesan dalam pelbagai drama dan filem, ini termasuklah peranan sebagai Ketua Choi dalam filem pecah panggung Extreme Job.
Bagaimanapun, namanya menjadi perhatian baru-baru ini selepas terbabit dalam kes memandu di bawah pengaruh alkohol pada 19 Jun lalu. Hasil siasatan polis mendapati tahap alkohol dalam darahnya melebihi 0.08 peratus ketika memandu sejauh kira-kira lima kilometer di Yongin, menyebabkan lesen memandunya dibatalkan.
Susulan insiden itu, beliau menarik diri daripada pementasan teater Shakespeare in Love dan babaknya dalam beberapa drama televisyen seperti The Defects dan The Winning Try telah diedit.
Pemergian mengejut ini meninggalkan kesan mendalam buat peminat serta rakan-rakan industri, yang mengingati beliau sebagai seorang anak seni berbakat besar dan berkarisma di layar perak mahupun kaca televisyen.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Pelakon Shaheizy Sam mengakui terkejut apabila menerima khabar mengenai keadaan kesihatan abang iparnya, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, dilaporkan semakin kritikal sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi.